Berita

DAP sedia tawar bantuan guaman kepada Kiki, selar kenyataan perkauman Zainuddin Maidin

KUALA LUMPUR, 25 JUL: DAP bersedia menawarkan khidmat guaman percuma kepada Siti Fairrah Asyikin Kamaruddin, atau Kiki, jika beliau mahu merayu terhadap hukuman RM5,000 yang dikenakan mahkamah terhadap dirinya.

Dalam satu kenyataan semalam, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang menyatakan tawaran khidmat percuma itu atas rasa simpati kerana Kiki ‘dihukum keterlaluan’ oleh masyarakat melalui media sosial selepas tersebar klip video pertelingkahannya dengan seorang warga emas.

Menurutnya, Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo juga telah mengesahkan bahawa Biro Undang-Undang DAP bersedia untuk memberikan sebarang perkhidmatan dan bantuan.

“Hukuman yang diterima Kiki sudah mencukupi. Beliau telah menyatakan kekesalan dengan apa yang telah dilakukan sebelum ini. Sim juga telah memaafkannya,” kata Kit Siang.

Sim Siak Heong, 68, warga emas yang dimarahi Kiki dalam satu kemalangan kecil di Kuantan dilaporkan media telah memaafkan wanita tersebut.

Kata Sim, sebagai penganut Kristian Katolik, agamanya mengajar untuk memaafkan orang yang telah melakukan kesalahan.

Dalam pada itu menurut Kit Siang, wanita itu menjadi subjek cemuhan dan kutukan di media sosial, beban yang tidak pernah dibayangkan apabila Kanun Keseksaan digubal seabad lalu, di era pra-internet dan sebelum kedatangan media sosial.

“Kiki sudah menjalani ‘perbicaraan dalam media sosial’. Sepatutnya (hukuman) ini diambil kira. Sebab itu saya merasakan denda RM5,000 terhadap beliau terlalu tinggi,” katanya.

Pada 22 Julai lalu, Mahkamah Sesyen Pahang memutuskan untuk menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM5,000 ke atas Kiki. Beliau juga diperintahkan melakukan kerja khidmat masyarakat selama 240 jam.

Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin menjatuhkan hukuman tersebut selepas wanita itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikenakan ke atasnya kerana melakukan khianat terhadap kereta milik Sim Siak Hong di kawasan parkir kereta Pusat Transformasi Bandar Kuantan pada 14 Julai lalu.

Tolak manipulasi perkauman BN

Dalam kenyataannya, Kit Siang turut mengecam bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin kerana membuat kenyataan menggunakan garis perkauman sempit dalam isu Kiki.

Zainuddin dalam blognya Rabu lalu menyatakan orang Cina akan melakukan tindakan berbeza jika Kiki adalah dari kalangan mereka dan pasti akan menganggapnya sebagai isu perkauman.

Kit Siang menyifatkan kenyataan Zainuddin itu sebagai ‘kemuncak sikap tidak bertanggungjawab’ kerana sanggup mempersoalkan semangat patriotisme masyarakat Cina Malaysia.

“Apa yang ditulis Zainuddin seperti ‘akhbar akhbar Cina, media sosial Cina, parti-parti perkauman Cina, NGO Cina’ sebagai organisasi perkauman jelas satu penghinaan kepada semangat nasionalisme atau patriotisme Malaysia.

“Persoalan ‘bagaimana jika Kiki adalah Cina’ sama sekali tidak relevan kerana Perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan telah memberi jaminan bahawa semua rakyat Malasia adalah sama di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan.

“Sama ada Kiki adalah Melayu, Cina, India, Kadazan atau Iban, beliau perlu menghadapi tindakan undang-undang jika melakukan kesalahan,” kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu. -Roketkini.com