Berita

UTAM anjur Pesta Ilmu hujung minggu ini

KUALA LUMPUR, 12 OGOS: Kelompok penggerak kegiatan kecendekiawanan Universiti Terbuka Anak Muda (UTAM) akan menganjurkan Pesta Ilmu hujung minggu ini bertempat di Rumah PENA, Bukit Petaling, Kuala Lumpur.

Program yang akan berlangsung selama dua hari tersebut dipecahkan kepada dua acara iaitu Simposium Wanita dan Simposium Anak Muda.

Simposium Wanita yang akan bermula pada hari Sabtu, dari jam 8.30 pagi hingga 6.15 petang, bakal menampilkan perbincangan mengenai konsep tabiat manusia (the nature of men), kajian feminisme dalam penulisan novel serta definisi dan sejarah gerakan feminisme.

Antara ahli panel perbincangan ialah Profesor Dr Wan Suhaimi Wan Abdullah, Ahmad Fuad Rahmat, Profesor Khalif Muamar, Norhayati Kaprawi, Mumtaz Md Nawi, Raihani Mohd Said, Pauline Fan dan Profesor Dr Ramizah.

Buku hasil karya penggerak-penggerak UTAM juga akan diluncurkan pada hujung program.

Pada hari kedua, Simposium Anak Muda akan menampilkan pembentangan kertas kerja oleh wakil daripada pelbagai kumpulan mahasiswa, gerakan aktivis dan NGO.

Fokus pembentangan meliputi corak gerakan mahasiswa di era alaf 21, aktivisme, peranan intelektual, pendidikan dan lain-lain lagi.

Antara barisan jemputan adalah dari Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), IKRAM Siswa, Teach For The Needs (TFTN), Buku Jalanan, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), HAKIM, Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dan Sosialis Alternatif.

Acara Simposium Anak Muda akan bermula dari jam 8.00 pagi hingga 5 petang.

Pesta Ilmu UTAM dianjurkan dengan kerjasama Global Movement of Moderates (GMM), TFTN, Nusa Centre dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), dengan Roketkini.com sebagai rakan media.

Kepada orang ramai yang berminat untuk menyertai Pesta Ilmu boleh membuat pendaftaran percuma di bit.ly/pestailmu2014

Perkhidmatan ‘shuttle’ dari Monorel Hang Tuah ke Rumah PENA turut disediakan. -Roketkini.com