Berita

Sediakah Pak Lah ambil jalan sederhana dan menjadi juara?

KUALA LUMPUR, 17 SEPT: Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang mengalu-alukan pandangan bekas Perdana Menteri Tun Abdulah Ahmad Badawi yang menasihatkan rakyat Malaysia agar mengambil jalan sederhana, bertoleransi dan saling menghormati diantara satu sama lain.

“Apakah beliau sedia dan konsisten untuk mengambil jalan sederhana dan menjadi juara, memandangkan peningkatan sikap ekstrem dalam masyarakat selain dakwaan dibawah Akta Hasutan yang mencipta suasana menakutkan?, kata Kit Siang dalam satu kenyataan.

Kit Siang memetik kiriman sulung Abdulah di blognya www.paklah.net sempena Hari Malaysia berjudul ‘Erti Kemerdekaan dan Perpaduan’ dan membayangkan Perdana Menteri kelima itu akan sukar berdepan suasana semasa di negara ini.

“Abdullah berkata rakyat Malaysia tidak boleh hanya bersatu ketika meraikan sesuatu, atau ketika menghadapi tragedi dan bencana selain memberi amaran menggunakan bencana politik untuk memupuk perpaduan.

“Kata Abdullah, rusuhan kaum 13 Mei 1969 harus menjadi pengajaran kepada semua, tetapi ia bukanlah sesuatu yang perlu dibangkitkan sepanjang masa.

“Kebimbangan bekas Perdana Menteri ini munasabah dan wajar,” ujar Kit Siang mengulas pandangan Abdullah.

Namun kata Kit Siang, sehingga hari ini tidak ada pemimpin tertinggi kerajaan termasuk Perdana Menteri atau menteri kabinet untuk menyatakan pandangan menentang eksploitasi tidak bertanggungjawab daripada tragedi tersebut.

Sebaliknya, isu tersebut diputarbelit secara salah dan tidak bertanggungjawab untuk melanjutkan suasana politik berasaskan ketakutan, berbanding usaha pembinaan negara melalui perpaduan nasional oleh rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

“Dana awam digunakan untuk memburukkan pembangkang dalam filem Tanda Putera.

“Abdullah mengeluh bahawa tumpuan kini tidak lagi kepada kepelbagaian bangsa di negara ini, sebaliknya perbezaan bentuk pemikiran politik, bangsa, agama dan status sosial yang menyebabkan pergeseran,” ujar Kit Siang.

Kit Siang turut merujuk kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM) Datuk Saifuddin Abdullah semalam yang meminta media tidak membuat liputan forum ‘Masa Depan Malaysia’, anjuran organisasi itu.

Menurut Kit Siang, reaksi tersebut muncul berikutan rasa tidak selesa penganjur akibat pendakwaan dan siasatan besar-besaran oleh kerajaan dibawah Akta Hasutan, menyebabkan ramai pihak berada dalam keadaan sukar.

Justeru kata Kit Sinag, tidak menghairankan apabila tulisan bekas Perdana Menteri itu dalam kirimannya sempena Hari Malaysia semalam berasa sedih dengan apa yang berlaku walaupun terdapat usaha untuk memupuk perpaduan antara kaum.

“Namun, apakah beliau bersedia secara konsisten mengambil jalan sederhana dan menjadi juara menentang peningkatan sikap tidak bertoleransi, ekstrem selain berdepan dakwaan dibawah Akta Hasutan kerana kita kini menuju suasana ‘Ops Lalang 2? soal Kit Siang. – Roketkini.com