Berita

“Rahman Dahlan pembohong besar, pesong fakta projek rumah di Pulau Pinang”

PETALING JAYA, 7 MEI: Tidak sekadar pengecut dan enggan bertemu Ketua Menteri Pulau Pinang, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Abdul Rahman Dahlan dianggap pembohong besar kerana memesongkan fakta projek rumah di negeri itu.

Pembohongan Rahman hari ini didedahkan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua apabila mendapati kenyataan Rahman yang kononnya penuh fakta dan nombor itu dipesongkan demi mengelabui mata rakyat Pulau Pinang.

“Berdasarkan jawapan rasmi diberikan Rahman Dahlan, saya kini yakin boleh memanggil beliau seorang pembohong besar kerana jelas kenyataannya penuh dengan penipuan nombor, memesongkan fakta dan cuba menyembunyikan kebenaran,” ujar Tony.

Menurut Tony pemesongan fakta oleh Rahman antaranya termasuk kononnya 10,000 rumah mampu milik dicadangkan Pusat disekat kerajaan negeri, disamping mendakwa Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) hanya membina 20 buah hartanah mewah.

“Hakikatnya, kedua-dua agensi Persekutuan, PERDA dan JKP Sdn Bhd telah mengemukakan 15 permohonan untuk 9,444 bangunan.

“Daripada jumlah ini, 451 unit kedai komersial manakala 8,997 lagi adalah unit komponen kediaman.

“Rahman seperti rakan-rakan menterinya yang lain juga gagal faham matematik mudah.

“PERDA bukan sahaja memohon 21 buah banglo dua dan tiga tingkat di Teluk Kumbar, malah dalam projek berasingan, mereka memohon pembinaan 69 lagi banglo dua tingkat di Pongsu Seribu.

“Ini budak sekolah rendah pun boleh beritahu jumlahnya. Semuanya 90 buah rumah. Sangat jauh dari jumlah ‘20 buah’ yang Rahman mahu kita semua percaya,” jelas Tony.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP itu menyelar pembohongan Rahman yang cuba memberi alasan bagi menyekat rakyat Pulau Pinang menikmati rumah mampu milik.

“Jelas PERDA dan JKP menyalahi undang-undang ditetapkan. Walaupun panjang jawapannya, dia tetap mengelak soalan, sa,a ada berani berjumpa Ketua Menteri Pulau Pinang untuk selesaikan isu ini.

“Atau dia hanya mahu raih simpati politik dengan terus menipu rakyat Malaysia?” soal Tony sinis. – Roketkini.com