Berita

Takut dengan kekuatan DAP punca Shahrizat buat kenyataan perkauman

SEREMBAN 10 DIS: Lim Kit Siang menyifatkan kenyataan Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bahawa negara akan jatuh ke tangan DAP jika UMNO tidak bersatu padu sebagai ‘ketakutan’ UMNO terhadap kekuatan DAP.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu turut mengecam kenyataan Shahrizat yang berbaur perkauman apabila menyatakan orang Melayu akan menjadi ‘kuda tunggangan’ orang Cina jika DAP berkuasa di negara ini.

“Tidak ada isu Cina memperguna Melayu atau Melayu memperguna Cina. Matlamat DAP untuk melihat Malaysia bersatu padu tanpa mengira kaum ataupun agama,” katanya pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-50 DAP malam tadi.

Sehubungan itu, Kit Siang juga menyifatkan UMNO sebagai parti mundur kerana tidak terbuka kepada kaum lain, sebaliknya DAP ada ramai ahli pelbagai kaum dan agama termasuk Melayu Islam.

“Ahli UMNO sendiri yang menutup usaha Datuk Onn Jaafar dulu yang mahukan UMNO dibuka kepada kaum lain. Inilah kemunduran sebenar UMNO,” katanya.

Beliau berkata, hasutan UMNO kononnya hak keistimewaan orang Melayu dan kebebasan umat Islam akan terhakis jika DAP merampas Putrajaya sebagai tidak ada asas kukuh.

“Matlamat DAP untuk mempertahan hak semua rakyat Malaysia tidak kira kaum dan agama, kerana ia adalah tunjang kepada pembentukan Malaysia,” katanya.

Sebelum ini, Shahrizat pada penggulungan Perhimpunan Wanita Umno 2015 menyatakan tidak mahu orang Melayu dikuasi DAP ekoran pertelagahan dalaman antara pimpinan tertinggi parti kaum Melayu terbesar itu.

UMNO terkini berpecah belah dengan sebahagian menyokong Presidennya, Datuk Seri Najib Razak manakala sebahagian lagi menyokong Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin.