Rencana

Zakir Naik dan teori mentaliti anak ayam

Geng Kerajaan Perpaduan akhirnya terpaksa meminjam kredibiliti pendakwah popular Dr Zakir Naik untuk memberitahu umat Melayu Islam Malaysia bahawa mereka perlu menyokong penyatuan PAS dan UMNO, demi kepentingan agama.

Dr Zakir Naik dibawa khas untuk menjelajah dari negeri ke negeri, bertemu orang ramai dalam perhimpunan puluhan ribu sehingga dua, tiga pagi. Mereka telah terpesona dengan kehandalannya berhujah serta mengIslamkan beberapa orang ‘on the spot’. Zakir Naik punya kredibiliti dan kehandalan yang tidak dimiliki ilmuan tempatan. Zakir Naik ada kesaktian.

Kesaktian dan aura Zakir Naik adalah faktor yang tidak dimiliki mana-mana pemimpin UMNO mahupun PAS. Kesaktian inilah yang diperlukan untuk meningkatkan keyakinan majoriti umat pengundi dalam sistem demokrasi di Malaysia bahawa mereka perlu menyokong sebuah kerajaan perpaduan yang terbina atas nilai-nilai agama.

Agama, butang sensitif umat negara ini yang pantang disentuh pasti membuatnya melompat. Sekali dipicit butang agama ini, maka lembiklah tengkuk semuanya sekali. Agama akan sekali lagi disalahgunakan untuk kepentingan kuasawan, dan kita yang lainnya akan tertewas.

Sia-sia sebenarnya Tony Pua berbuih mulut bercerita panjang tentang skandal 1MDB. Akhirnya yang akan buat buntang mata orang Melayu-Islam ialah kesaktian Zakir Naik mengIslamkan orang dan berhujah dengan nas-nas yang dikutip daripada kitab-kitab hafalannya. Itu lah kebenaran yang mahu didengar dan dikira penting, melampaui skandal 1MDB.

Malah penyudahnya nanti, derma RM2.6 bilion yang sah masuk ke akaun peribadi Perdana Menteri kononnya hasil pemberian orang kaya Saudi akan diterima dengan lapang dada dan tidak dikira berdosa, atas alasan bersandarkan kepentingan agama.

‘Kenapa perlu DAP mendengki dengan sumbangan orang kaya Islam untuk membantu orang Islam?’ Begitulah barangkali hujah kawan-kawan Kerajaan Perpaduan demi melanjutkan agenda politik para kuasawan berserban. Tidak membantu juga apabila ada dua, tiga kawan-kawan yang pantas melabel Zakir Naik sebagai syaitan.

Dan itulah sebabnya kenapa UMNO tidak akan pernah kalah dan DAP tidak akan pernah memenangi hati, minda dan imaginasi umat Melayu Islam. DAP memberitahu pengundi Melayu apa yang DAP mahu mereka dengar, bukan apa yang mahu didengar pengundi Melayu.

Kehadiran semula Tun Dr Mahathir Mohamad ke dalam kancah politik Malaysia barangkali sedikit membantu membawa khalayaknya ke forum-forum yang membawa mesej-mesej tentang 1MDB dan salahlaku kerajaan. Namun forum-forum ini tidak ada Zakir Naik, jadi kehadirannya hanya sekadar ribuan, bukan puluhan ribu.

Forum-forum skandal 1MDB tidak menangkap imaginasi Melayu-Islam sebagaimana Zakir Naik mampu menarik perhatian dan rasa takjub mereka apabila berjaya mengubah keyakinan orang awam yang tidak percaya kepada agama supaya percaya kepada agama. Dan itu membuatnya sakti.

Skandal 1MDB memerlukan daya fikir untuk mencerna angka, aliran tunai, dividen, faedah, hutang, bon, sukuk, dan segala yang rumit. Ketimbang hidangan di ceramah-ceramah agama yang tidak sedemikian renyah serta tidak melibatkan angka. Maka tidak perlu banyak fikir, dengar sahaja dan bersedia untuk terpesona.

Sebenarnya bukan kita tidak pernah melihat fenomena ini. Kita malah pernah melihat kesaktian yang hampir sama diperlihatkan melalui satu sosok bernama Ustaz Azhar Idrus, yang berceramah dengan loghat Terengganu pekat dan menjawab seremeh-remeh persoalan dengan apa yang kita lihat sebagai ilmu dan sikap yakin diri yang tinggi. Meski ada yang berhujah bahawa Azhar Idrus itu bukanlah ilmuan sangat pun.

Hujah yang sama turut terpakai terhadap Zakir Naik. Dia bukannya tahu semua benda, malah sudah tersebar videonya membuat lebih dua puluh kesalahan dalam masa lima minit. Namun itu tidak penting bagi pancaindera Melayu Islam yang biasa-biasa ini. Apa yang mahu dilihat ialah keyakinannya menjawab soalan, berhujah dan mengislamkan orang. Apa yang dimahukan orang Melayu Islam ialah ketokohan; satu faktor yang sangat didahagakan sepanjang beberapa tahun lampau.

Orang Melayu bagai kawanan anak ayam, yang sentiasa memerlukan induknya. Kita sebut induk, tapi mudahnya induk bermaksud ‘ibu ayam’, namun maksud kata itu pula mungkin disalaherti. Keperluan orang Melayu terhadap induk adalah faktor besar survival politik UMNO, dan kini mungkin PAS.

Orang Melayu perlu dijaga, disuap makan minumnya, dijamin masa tidur rehatnya; sama seperti anak ayam. Semua ini diselenggara induk Melayu yang kita kenali hari ini sebagai UMNO. Tidak perlu peduli lah sama ada ia korup atau merompak kekayaan negara demi mengisi tembolok kroni, asalkan simbol-simbol kuasanya tidak digugat.

Modus operandi yang sama kini sedang berjalan seiring kempen pilihanraya negeri Sarawak, dengan menabur dedak di segenap ceruk, makan bersuap dan berak ditadah demi kelihatan seolah-olah betul lah UMNO itu kerjanya menjaga kepentingan anak-anak pribumi. Pergi mati lah isu 1MDB, itu semua tak ada yang peduli. Yang penting ada YB datang singgah empat, lima tahun sekali bawa hamper berisi biskut, beras dan sampul berisi.

Mentaliti ayam inilah yang hampir pasti tidak akan dapat diubah, dan hampir pasti akan menjadi jaminan bahawa kuasa politik UMNO akan berterusan sampai bila-bila. Malah mentaliti ayam ini akan dianggap lazim dan perlu disyukuri. Barangsiapa yang melanggar adat mentaliti ayam akan dihukum kufur nikmat seraya dihalau keluar lingkungan dan dilayan sebagai pengkhianat kepada ayam-ayam yang lain.

Mentaliti ayam inilah yang akan memudahkan kerja UMNO untuk mengalih perhatian kita semua daripada segala sesuatu yang memburukkan kehidupan, namun tidak kita peduli kerana sibuk mematuk dedak di sangkar induk; tak sedar pisau sembelih sudah mencecah anak tekak. – Roketkini.com