Berita

Dayak akan jadi Ketua Menteri jika kerajaan baru Sarawak dibentuk pada tahun 2021

MURUM, 6 MEI: Pemimpin dari kaum Dayak akan dipilih menjadi Ketua Menteri Sarawak jika DAP serta parti-parti yang seangkatan dengannya menang dalam pilihanraya negeri akan datang pada tahun 2021.

Ketua Menteri Sarawak yang pertama adalah mendiang Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan yang memegang jawatan itu apabila Sarawak membentuk Malaysia bersama Sabah, Singapura dan Malaya pada 1963. Bagaimanapun kemelut politik yang melibatkan campurtangan Kerajaan Persekutuan menyebabkan pemimpin dari kaum Iban itu disingkirkan daripada jawatannya pada 1966.

Penggantinya adalah Datuk Seri Penghulu Tawi Sli, juga seorang Iban, yang disukai Persekutuan memegang jawatan ketua menteri sehingga 1970, di mana ia menjadi era terakhir pimpinan Iban di Sarawak.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata jika DAP menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri yang baru pada 2021, ia akan memilih pemimpin dari kaum Dayak untuk menerajui negeri Sarawak.

Untuk mencapai matlamat itu, katanya, ia bermula esok apabila pengundi membuat keputusan dalam pilihanraya Sarawak, iaitu:

  • Mengekalkan kesemua kerusi DAP yang dimenangi dalam pilihanraya Sarawak 2011; dan
  • Memenangi kerusi di kawasan majoriti Dayak, iaitu membawa seramai mungkin Adun-Adun DAP dari pelbagai kaum ke dalam Dewan Undangan Negeri Sarawak.

“Saya berani nyatakan bahawa jika DAP berjaya membentuk kerajaan negeri Sarawak pada pilhanraya negeri 2021 nanti, Ketua Menteri Sarawak pertama DAP akan besar kemungkinan adalah dari kaum Dayak dan bukannya kaum Cina,” katanya.

Malah, Kit Siang dalam kenyataan medianya itu turut menyeru supaya rakyat Malaysia bergerak ke arah kesepaduan pelbagai etnik, kumpulan, bahasa, agama dan budaya, dan tidak mencemarkan aspirasi itu dengan mencipta perbezaan yang seterusnya mengakibatkan perpecahan.

Atas semangat itu, Ahli Parlimen Gelang Patah itu berpendapat bahawa mana-mana parti politik yang menawarkan sesuatu yang bakal mewujudkan perpecahan di dalam kalangan rakyat di negara ini sewajarnya ditolak pada pilihanraya negeri Sarawak yang akan bermula esok.

Beliau yang dalam kunjungannya ke 15 kawasan majoriti kaum Dayak di Sarawak turut melahirkan kekesalan ekoran kekurangan infrastruktur dan kepayahan yang terpaksa dihadapi penduduk berikutan kekurangan atau ketiadaan langsung keperluan asas seperti air, elektrik dan jalan raya.

Laporan media Sarawak sebelum ini yang memetik perangkaan Jabatan Statistik pada 2014 menyatakan bahawa kaum Dayak – Iban, Orang Ulu dan Bidayuh – yang majoritinya beragama Kristian mewakili 45.4 peratus penduduk Sarawak, diikuti dengan Melayu (24.4 peratus) yang hampir sama ramai dengan Cina (24.2 peratus), dan Melanau (5.4 peratus) serta kaum-kaum lain (0.06 peratus).

Kit Siang menjelaskan, beliau juga sedih dan marah dengan isu pembinaan Empanagan Bakun yang bernilai berbilion ringgit yang mengakibatkan Orang Ulu di kalangan kaum Kenyah di sini kehilangan tanah adat, sungai dan hutan mereka ekoran dirampas pihak pemaju sejak 18 tahun yang lalu.

“Bagaimana Malaysia boleh menjadi negara yang membangun dalam tempoh empat tahun menuju 2020 jika majoriti kaum Dayak di seluruh Sarawak telah dinafikan untuk menikmati infrastruktur asas seperti air paip, elektrik, jalan?

“Malah keperluan manusia seperti pendidikan, kesihatan dan peluang pekerjaan juga tidak sempurna?” katanya, menambah bahawa alasan itu sahaja sudah cukup untuk rakyat Sarawak bangkit untuk melakukan perubahan melalui pilihanraya negeri esok. – Roketkini.com