Berita

Sembang kencang program kebajikan 1MDB hanya sandiwara tutup kelemahan

KUALA LUMPUR, 26 JULAI: Datuk Seri Najib Razak diminta untuk berhenti menutup kelemahan syarikat sarat hutang dan skandal, 1Malaysia Development Berhad dengan membesar-besarkan program-program kebajikan yang pernah ditaja syarikat itu sebelum ini.

Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua berkata, rakyat sudah maklum dengan “sandiwara” berkenaan dan menyedari bahawa syarikat terbabit sebenarnya tidak membawa sebarang keuntungan, malah mengumpul hutang hasil daripada ketirisan dan penyelewengan.

Justeru, katanya, program-program kebajikan yang dipuji-puji Najib itu sebenarnya dibiayai dengan hutang malah wang pembayar cukai di negara ini dan bukannya dengan keuntungan seperti yang cuba digambarkan menteri kewangan itu.

“Jika 1MDB telah membuat keuntungan dan seterusnya memperuntukkan sebahagian daripada keuntungan ini untuk tujuan kebajikan, maka usaha-usaha oleh syarikat milik kerajaan itu tentulah dipuji.

“Bagaimanapun, 1MDB yang ditubuhkan dengan berhutang yang sehingga kini berjumlah RM55 bilion ringgit, tidak pernah membuat sesen pun keuntungan tunai sepanjang enam tahun kewujudannya.

“Ini bermakna bahawa 1MDB telah membuat ‘sumbangan yang besar kepada program kebajikan sosial’ dengan pinjaman semata-mata untuk menutup reputasinya yang calar akibat kerugian, penyelewengan, dan skandal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Najib seperti yang dilaporkan media, mendabik dada dengan program kebajikan 1MDB yang melibatkan kira-kira 1,100 jemaah haji dan menelan belanja RM10.4 juta.

Ironinya, menurut Tony Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tabung Haji diarahkan untuk membeli 0.64 ekar tanah Tun Razak Exchange daripada 1MDB dengan harga RM2,774 untuk setiap kaki persegi, sedangkan, sebelum ini syarikat itu memperolehnya dengan harga RM64 untuk setiap kaki persegi.

Ekoran daripada itu, katanya, Tabung Haji sebagai agensi yang menyimpan dana bakal jemaah ibadah haji telah kerugian hampir RM184 juta hasil daripada pembelian terbabit.

Penyelewengan dana melibatkan 1MDB didedahkan secara terperinci oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat Jumaat lalu yang antara lain mendedahkan bahawa sebahagian besar dana syarikat tersebut telah digunakan bagi tujuan membeli hartanah mewah, membayar hutang judi, memperoleh pesawat, mengumpul karya-karya seni dan membiayai gaya hidup mewah anak tiri Najib, Riza Aziz dan Jho Low. – Roketkini.com