Berita

DAPSY kecewa dasar keahlian parti baru Mahathir lanjutkan diskriminasi perkauman

 

IPOH, 11 OGOS: Parti politik yang mahu menewaskan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14 perlulah mendapat sokongan seluruh rakyat Malaysia dan menjauhi sikap diskriminasi perkauman jika mahu terus kekal relevan.

Menzahirkan kekecewaannya, Ketua Sosialis Muda DAP (DAPSY) Wong Kah Woh, berkata ketetapan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) yang mengkhususkan keahliannya kepada kaum Melayu dan Bumiputera sambil menawarkan keahlian bersekutu kepada yang bukan Melayu adalah ketinggalan zaman dan tidak wajar.

“Struktur ini menghalalkan diskriminasi berdasarkan kaum, agama, jantina atau kawasan dan tidak harus wujud dalam sebuah parti baharu zaman moden Malaysia, khasnya untuk sebuah parti yang berkemungkinan akan menjadi parti pemerintah pada satu hari nanti,” ujarnya ketika dihubungi Roketkini.

Menurut Adun Canning itu, dasar keahlian Bersatu hanya membuktikan wujudnya usaha untuk terus meletakkan orang bukan Melayu-Bumiputera sebagai warga kelas kedua.

“Ia juga suatu petanda parti baharu ini mempunyai penyakit perkauman dan politik identiti yang ketinggalan zaman, dan ia perlu sedar dan mengubati penyakit itu,” jelas beliau, mengulas lanjut kenyataan Pengarah Pendidikan Politik DAPSY, Chiong Yoke Kong sebelum ini.

Yoke Kong terlebih dahulu mengecam dasar keahlian parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu yang dilihat melanjutkan dasar politik berasaskan kaum.

Bagi Kah Woh, parti Bersatu perlu segera menyedari dan memperbetulkan kesilapan memilih dasar keahlian sedemikian.

Ini katanya kerana usaha untuk menewaskan BN pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan lebih sukar sekiranya kerjasama politik yang bakal diusahakan kelak tidak berusaha menjauhi politik berasaskan perkauman.

Semalam, pendaftaran Bersatu dikemukakan Muhyiddin kepada Pendaftar Pertubuhan, dengan menyenaraikan Tun Dr Mahathir sebagai pengerusinya, sementara Datuk Seri Mukhriz Mahathir dilantik Naib Presiden. – Roketkini.com