Berita

Kenapa selepas tiga minggu baru mahu siasat ugutan ‘parang terbang’ Jamal?

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Tahap kredibiliti dan profesionalisme Polis Diraja Malaysia (PDRM) berisiko tergugat sekiranya tiada sebarang tindakan drastik mahupun hukuman dikenakan ke atas provokasi melampau pemimpin samseng UMNO, Datuk Jamal Yunos.

Jamal didakwa menulis satu kemas kini berbunyi: “Saya berjanji Tragedi 13 MAY akan berulang dan PARANG TERBANG akan terjadi jika BERSIh 5 dibuat pada masa, tarikh dan tempat yang sama dengan perhimpunan #BERSIH5 yang dijadualkan pada 19 November ini. “Hidup Melayu!”

Kelmarin, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengarahkan supaya anggotanya menjalankan siasatan ke atas Jamal ekoran kenyataan berkenaan.

Bagaimanapun, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu menafikannya, malah mendakwa bahawa kononnya akaun laman sosialnya itu dipalsukan oleh pasukan yang diupah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Guan Eng yang juga merupakan Ketua Menteri Pulau Pinang menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu, malah mengingatkan Jamal supaya tidak terus menerus mengaitkan dirinya dengan fitnah berkenaan.

Namun, apa yang lebih menghairankan, menurut Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang kemas kini Facebook itu disiarkan pada 21 September yang lalu, tetapi hanya kira-kira tiga minggu selepas itu barulah Khalid mengarahkan polis untuk melakukan siasatan.

“Jika penganjur BERSIH 5 atau pemimpin Pakatan Harapan yang membuat kemas kini Facebook seumpama itu, tidak kira sama ada ia adalah palsu atau sebaliknya, adakah pihak polis dan pihak berkuasa cepat atau terlambat selama hampir tiga minggu sebelum bersedia untuk mengambil tindakan?” soalnya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah turut mempersoalkan niat sebenar Jamal menunding jari kepada DAP berhubung kemas kini berkenaan yang didakwa bertujuan mengalihkan perhatian masyarakat terhadap isu sebenar – budaya samseng UMNO.

Justeru katanya, kredibiliti dan profesionalisme polis menghadapi risiko tergugat ekoran kejadian yang ditimbulkan samseng UMNO itu.

“Bolehkah pihak polis menebus reputasi profesional dengan bertindak pantas menghentikan tindakan samseng dan tidak mematuhi undang-undang yang dicetuskan gerombolan Baju Merah UMNO?” soalnya.

Sabtu lalu, samseng-samseng UMNO berbaju merah seperti yang dilaporkan media bertindak mengepung dan melemparkan telur ke arah dua peserta BERSIH bermotosikal di Sabak Bernam, selain membuat sekatan jalan bagi menghalang Konvoi Bersih 5 yang menuju Kuala Lumpur pada 19 November nanti. – Roketkini.com