Berita

Pemuda UMNO diminta berhenti mainkan isu perkauman, fokus hal 1MDB

KUALA LUMPUR, 1 DIS: Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun perlu berhenti memainkan sentimen perkauman dan ‘ugutan’ politik terhadap rakyat pelbagai kaum negara ini.

Ketua Sosialis Muda DAP (DAPSY), Wong Kah Woh berkata, ucapan Khairul dalam Perhimpunan Agung UMNO 2016 semalam seolah-olah mahu mengalih perhatian masyarakat dari skandal terbesar 1MDB yang telah menjejaskan negara.

“Telah banyak kerosakan yang dibuat oleh kerajaan UMNO Barisan Nasional, termasuk skandal terbesar negara 1MDB yang masih belum selesai.

“Khairul tidak patut cetuskan isu perkauman dan abaikan masalah skandal terbesar negara yang menjejaskan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.

Menurut Kah Woh, fokus negara saat ini perlu ditumpukan dalam memerangi rasuah dan penyelewengan serta urustadbir yang baik.

Tambahan pula kedaulatan undang-undang negara ini telah tercemar akibat skandal 1MDB kerana tidak seorang pun individu yang terkait ditahan kerana merompak dana awam walaupun ia telah didedahkan lebih dua tahun lalu.

“Jika UMNO dan Perdana Menteri Najib Razak terus memimpin negara, ia akan musnah.

“Kepentingan seluruh rakyat Malaysia, tidak kira Melayu, Cina, India, Iban, atau Kadazan akan terjejas di bawah pemerintahan kleptokrasi,” ujarnya.

Dalam ucapannya semalam, Khairul memberi amaran kononnya sokongan berterusan masyarakat Cina kepada DAP hanya akan melebarkan lagi jurang kaum negara ini dengan mengubah lanskap politik negara yang lebih didominasi kaum Melayu. – Roketkini.com