Rencana

Siapa yang membela hak wanita? – oleh Muhammad Zir

29 JUN – Terima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional kerana akhirnya akur dengan saranan DAP yang selama ini menekankan keperluan untuk meletakkan sekurang-kurangnya 30 peratus wanita di peringkat membuat keputusan.

Walau pun keputusan kerajaan hanya di sektor korporat, ia adalah permulaan yang baik. Malah, DAP tidak pula marah dengan BN kerana mencuri idea itu kerana ia memberi faedah kepada wanita khususnya dan rakyat amnya.

Sememangnya ada hujah mengatakan bahawa kuota gender, sebagaimana kuota kaum atau agama, tidak sesuai dengan dasar peluang saksama yang diperjuangkan oleh DAP. Namun ia telah dijelaskan bahawa kuota wanita berbeza dengan kaum atau agama kerana ia melibatkan tenaga, kepakaran dan keperluan yang berdasarkan kepada merit.

Maksudnya, selama ini wanita yang berkelayakan, berkebolehan dan berkepakaran diketepikan semata-mata kerana mereka adalah wanita. Jadi penetapan 30 peratus itu bertujuan meletakkan wanita pada tempat yang adil, bukan kerana gender semata-mata.

Malah, kini bukan sahaja DAP yang berjuang untuk hak wanita tetapi juga rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat seperti PKR, dan muslimat PAS juga sudah mengorak langkah yang sama.

Keputusan kerajaan BN itu merupakan satu bukti bahawa idea dari Ketua Wanita DAP Chong Eng telah membuahkan hasil.

Chong Eng yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam, adalah antara ahli politik wanita yang begitu lantang mengetengahkan idea tentang penglibatan wanita sekurang-kurangnya 30 peratus sebagai pembuat keputusan dan dasar.

Hasil dari usaha beliau bersama para pemimpin wanita Pakatan Rakyat yang lain telah memberi impak apabila kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor telah melantik Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan dari kalangan wanita, satu langkah bersejarah dalam sektor awam di Malaysia.

Kolaborasi dan persefahaman yang wujud antara pemberi saranan bersama pimpinan tertinggi kerajaan negeri iaitu Ketua Menteri dan Menteri Besar merupakan pakej lengkap dalam melaksanakan perubahan tersebut.

Dalam konteks yang lebih luas ia sesuai sekali dengan ungkapan ‘perjuangan adalah pelaksanaan kata-kata’. Dan setakat ini, ia dibuktikan dengan jelas dan ikhlas oleh kedua-dua kerajaan negeri.

Ia juga merupakan dasar yang diakui secara ‘senyap’ oleh UMNO dan BN sebagai berkesan dan berjaya.

Sudah tentu, dalam politik ego di Malaysia, BN akan menafikan bahawa langkah ini adalah sesuatu yang ditiru daripada DAP dan Pakatan. Itu tidak menjadi hal. Yang penting, wanita mendapat tempat yang layak dalam pentadbiran negara.

Menurut laporan Berita Harian semalam, kerajaan UMNO-BN membuat keputusan hanya pada hari Jumaat lalu tetapi Utusan Malaysia pula mendakwa ia adalah kesinambungan dari tindakan yang dilaksanakan pada 2004.

Tak kisah lah jika UMNO-BN mahu angkat bakul. Yang melucukan, mereka mengolah pelaksanaan itu hanya di sektor korporat/syarikat GLC dan badan berkanun. Yang kita tahu, ada banyak wanita yang layak dan pakar dalam sektor awam yang perlu dijadikan pembuat dasar.

Chong Eng pernah membangkitkan isu bahawa sejak Merdeka, peratusan Ahli Parlimen wanita kekal di sekitar 10 peratus sahaja manakala dalam Kabinet pula, bilangan menteri wanita tidak pernah lebih tiga orang dalam satu-satu masa. Bilangan Ahli Dewan Undangan Negeri wanita pula hanya 4.8 peratus pada 1999 dan 8 peratus pada 2008.

Dalam perkhidmatan awam, Ketua Wanita DAP itu menyatakan bilangan wanita dalam peringkat tertinggi tidak sampai 15 peratus.

Sedangkan Malaysia telah menandatangani Convention On the Elimination of All Forms of Discrimination Against women (CEDAW) dan Beijing Platform For Action pada 1995 untuk mencapai sekurang-kurangnya penyertaan 30 peratus wanita pada peringkat pembuat keputusan.

Cuma kita ingin bertanya, mengapa sudah lebih 50 tahun memerintah, baru hari ini BN sedar dan hendak dilaksanakan usaha itu.

Jika tidak dengan desakan, saranan dan tindakan dari Pakatan Rakyat, kerajaan BN akan terus mengabaikan golongan penting ini. Jadi, terima kasih UMNO-BN kerana telah membuktikan dasar perjuangan Pakatan Rakyat itu betul.

Jangan pula kita lupa bahawa Deklarasi Wanita DAP 1992 telah mencadangkan penubuhan Kementerian Hal-Ehwal Wanita. Hanya satu dekad kemudian, iaitu pada 2001, baru lah kerajaan BN mewujudkannya.

Siapa yang sebenarnya berjuang untuk membela hak wanita? – Roketkini.com