Rencana

Rahsia jalan tengah Malaysia II – Oleh Fairuz Azhan

Bahagian Kedua

Gambar ehsan http://www.facebook.com/cmlimguaneng

9 DISEMBER – Setelah lebih 50 tahun Merdeka, rakyat Malaysia berpeluang melihat aksi sebenar demokrasi sosial melalui pelaksanaannya di Pulau Pinang di bawah pentadbiran kerajaan negeri Pakatan Rakyat pimpinan DAP.

Walau pun dihadkan peruntukan kerajaan pusat, walau pun tidak mendapat kerjasama penuh dari kerajaan pusat dan walau pun sentiasa dikacau ganggu oleh anasir-anasir perkauman, kerajaan Pakatan Pulau Pinang telah membuktikan kata-kata perjuangannya melalui pelaksanaan.

Apa yang telah dilaksanakan di Pulau Pinang

Setelah diberi mandat oleh rakyat untuk mentadbir negeri, kerajaan Pakatan Pulau Pinang berjaya mengurangkan hutang kerajaan negeri sebanyak 95 peratus dalam masa tiga tahun sahaja! Di bawah pentadbiran UMNO-BN dahulu, hutang negeri adalah RM630 juta yang kini telah dikurangkan kepada RM27 juta sahaja.

Dengan mengamalkan amalan gabungan pasaran bebas dan penjagaan kebajikan oleh kerajaan melalui urus tadbir cekap, akauntabel dan telus (CAT), jelas dilihat kemakmuran ekonomi semakin hari semakin bertambah. Kejayaan negeri mendapat pengiktirafan dan pujian masyarakat antarabangsa.

Apabila hutang dikurangkan, perbelanjaan kerajaan dijimatkan dan tarikan pelaburan ditingkatkan, sudah tentu kerajaan negeri mengumpul hasil yang berbaloi. Apa pula yang dibuat dengan wang tersebut?

Tidak ada gunanya jika negeri kaya tetapi kemakmuran itu tidak dinikmati warganya. Kerajaan Pakatan Pulau Pinang yang telah menghapuskan kemiskinan tegar di negeri tersebut kini berusaha mahu membasmi kemiskinan keseluruhan dalam masa empat tahun lagi.

Pada masa yang sama, warga emas, ibu tunggal, orang kurang upaya, kanak-kanak tanpa mengira kaum telah banyak menikmati sumbangan kewangan dan peruntukan program untuk memastikan tidak ada anak negeri Pulau Pinang dipinggirkan. Malah, prinsip tidak mengira kaum dan agama itu sebenarnya memberi faedah besar kepada orang Melayu miskin di Pulau Pinang yang sebelum ini dipinggirkan oleh kerajaan UMNO-BN dahulu.

Peluang pekerjaan, terutama bagi mereka yang separuh mahir dan mahir, semakin bertambah di sektor perkilangan, pembuatan dan teknologi maklumat. Bagi peniaga dan kontraktor pula, buat kali pertama, mereka mendapat peluang yang adil dan saksama untuk membina kontrak kerana tiada lagi amalan membayar ‘duit kopi’ atau ‘kabel politik’ yang diamalkan sejak berzaman dahulu.

Pasaran bebas dan kawalan kerajaan

Inilah contoh jalan tengah yang diperjuangkan DAP. Dengan pasaran bebas (tanpa kroni, tanpa campur tangan orang politik, tanpa rasuah) dan jaminan jaring keselamatan sosial kerajaan (bantuan untuk rakyat dan pekerja yang susah, sumbangan kepada mereka yang berpendapatan rendah, peluang pekerjaan), jelas ekonomi sesebuah negeri atau negara boleh maju dan makmur.

Dengan kejayaan tersebut, kita menjulang dan mengangkat rakyat ke martabat insan yang sebenar kerana mereka tidak lagi tercicir dan dijamin keselamatan sosial mereka. Itu hanya sebuah negeri di utara Semenanjung. Bayangkan jika sistem yang baik dan bersih itu menjadi amalan di seluruh negara Malaysia.

Jika kita masih mengamalkan politik perkauman sempit yang didokong oleh UMNO-BN di mana andaiannya adalah kalau mahu kaya kena baik dengan pemimpin dan kalau mahu projek kena sogok, maka hidup kita akan terus tersepit.

Yang tidak ada pengaruh atau pun kuasa wang tidak akan diangkat manakala yang miskin akan terus hidup melarat. Ia mencipta hegemoni dan mentaliti ‘rent-seeker’ yang tidak membantu atau memperkasakan rakyat secara keseluruhan, walau pun atas nama satu kaum, kerana hanya yang elit dan segelintir manusia yang sudah sedia kaya dan mewah sahaja yang untung besar.

DAP merupakan sebuah parti yang murni perjuangannya dan ingin mengajak seluruh warga Malaysia, khususnya orang Melayu sebagai kaum majoriti di negara ini, untuk menyertai perjuangan tersebut. Tiada batasan warna kulit mahu pun agama jika ingin bersama dalam perjuangan DAP.

Serangan saraf UMNO-BN

Memang banyak tanggapan buruk daripada segmen masyarakat Melayu yang tidak memahami DAP. Kita tidak boleh menyalahkan mereka semata-mata kerana jentera propaganda UMNO-BN sesungguhnya sangat besar yang disalahgunakan melalui peruntukan wang cukai rakyat dan hasil sumber negara. Tambahan pula, mereka membolot semua jenis media massa.

Sementara menanti lebih ramai orang Melayu mengambil jalan tengah, sudah tentu DAP akan terus ditohmah dan difitnah. Sama ada pembohongan mereka masuk akal atau tidak, mereka akan terus cuba membangkitkan kemarahan rakyat terhadap DAP.

Sebagai contoh di Pulau Pinang, para pemimpin UMNO dan konco-konco mereka telah menuduh DAP menindas orang Melayu. Tohmahan itu terbukti palsu. Berkat usaha kerajaan Pakatan, orang Melayu semakin ditingkatkan taraf hidup mereka. Maka MCA pula menuduh DAP anti-Cina kerana membantu Melayu. Inilah sandiwara kotor BN.

Apabila ketandusan daya intelek untuk berhujah atau memberi alternatif kepada DAP, maka mereka mencipta tomahan dan fitnah menakutkan orang ramai supaya mereka selamanya tidak akan terdedah tentang perjuangan sebenar DAP.

Ini kerana jika rahsia atau kebenaran ini diketahui umum, rakyat akhirnya dapat melihat pilihan jalan tengah Malaysia yang dibawakan oleh DAP serta dikongsi bersama Pakatan Rakyat boleh diterima oleh semua orang.

Di saat itu, maka tidak relevan lagi parti-parti kaum atau mereka yang bermain politik perkauman. – Roketkini.com