Rencana

Rahsia jalan tengah Malaysia I – Oleh Fairuz Azhan

Bahagian Pertama

Gambar ehsan http://www.facebook.com/cmlimguaneng

8 DISEMBER – Apa itu demokrasi sosial? Dalam bahasa mudah, ia satu fahaman yang mempertahankan sistem ekonomi pasaran tetapi pada yang sama menyediakan satu jaring keselamatan sosial kepada rakyat mengikut garis-garis demokrasi. Dalam konteks Malaysia, ia berteraskan kepada Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak semua kaum dan agama.

Daripada perkataan akar ‘sosial’, kita dapat membayangkan bahawa fahaman ini amat mementingkan kebajikan rakyat sebagai dasar utamanya dalam segenap apsek, dan dari perkataan ‘demokrasi’ kita tahu ia adalah satu ideologi yang ingin mencapai matlamat politik dalam konteks yang dibenarkan dalam sempadan undang-undang dan Perlembagaan.

Demokrasi sosial

Demokrasi sosial, yang sememangnya bukan sesuatu yang maha sempurna, terbukti menjadi amalan popular kebanyakan kerajaan di dunia ini yang berjaya ‘membahagiakan’ rakyat mereka, yakni paling tinggi tahap mendapat kemudahan asas seperti pendidikan, kesihatan dan perumahan, hak kebebasan dan demokrasi yang luas serta paling kurang berlaku rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Kajian yang dijalankan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mendapati bahawa negara-negara yang rakyat mereka paling ‘bahagia’ sekali di dunia ialah negara-negara Skandinavia seperti Norway dan Sweden di mana kerajaan mereka rata-rata mengamalkan demokrasi sosial.

Dalam sistem pasaran bebas yang tidak dikawal oleh kerajaan, setiap individu bebas untuk bersuara dan melaksanakan aktiviti-aktiviti ekonomi. Ia dapat mewujudkan masyarakat berdaya saing dan berusaha memajukan diri untuk meningkatkan taraf hidup diri dan keluarga.

Namun, ia juga meninggalkan kesan negatif apabila rakyat atau pekerja terpinggir tanpa sebarang pembelaan. Walau pun rakyat mempunyai hak asasi, mereka mungkin terasa kesan besar kehilangan hak ekonomi.

Dalam sistem ekonomi perancangan pusat atau sistem komunis, segalanya dihakmiliknegarakan dan tertakluk kepada dasar yang ditentukan oleh parti pemerintah. Ia tidak memberi insentif kepada rakyat untuk berkerja keras mahu pun memajukan diri sendiri. Bagi memastikan tiada tentangan terhadap kuasa kerajaan, rakyat dinafikan hak asasi manusia.

Namun ada juga kebaikan sistem itu apabila kemudahan asas air, elektrik, sekolah, kesihatan dan minyak diberikan percuma atau sangat murah. Memanglah harganya tinggi kerana kebebasan terpaksa digadai dalam sistem seperti ini.

Oleh itu, jalan terbaik adalah mengambil yang jernih, membuang yang keruh. Ambil jalan tengah dan itulah demokrasi sosial. Dan inilah sebenarnya yang diperjuangkan DAP melalui fahaman politiknya.

Jalan tengah pilihan rakyat

Dalam konteks politik hari ini, sama ada disedari atau tidak, Pakatan Rakyat sebenarnya memilih jalan tengah ini. Selain DAP yang demokrasi sosialnya, PKR berteraskan keadilan dan dasar sosial untuk semua rakyat manakala PAS, sama ada melalui konsep Negara Islam yang dikemaskinikan sebagai Negara Berkebajikan membawa usaha menjamin kesejahteraan rakyat untuk semua kaum juga.

Kesemuanya tidak menolak sistem pasaran asalkan kerajaan menjamin tiada siapa menjadi mangsa penindasan, kesemuanya mahu peranan kerajaan bertumpu kepada menjaga kebajikan rakyat. Pakatan juga mahu menggalakkan usaha berdikari dan membuka peluang yang lebih adil berbanding sistem demokrasi cacat yang semakin parah keadaannya yang diamalkan oleh UMNO-Barisan Nasional.

Justeru, demokrasi sosial sebagai pegangan prinsip DAP disesuaikan dalam konteks Malaysia dengan menerima dan menghormati sepenuhnya prinsip-prinsip asas Perlembagaan Persekutuan. Dengan itu tohmahan kononnya DAP mahu menubuhkan republik mahu pun mengetepikan institusi raja-raja adalah amat tidak benar sama sekali. Jauh panggang dari api.

Apabila ada orang yang tidak memahami DAP atau sengaja membuat fitnah terhadap DAP, tuduhan yang sering didengar ialah parti demokrasi sosial ini adalah ‘anti-raja’, ‘anti-Melayu’, ‘anti-Islam’ dan pelbagai lagi konontasi negatif, seolah-olah tujuan DAP ditubuhkan adalah semata-mata untuk membinasa dan menghancurkan kemakmuran negara.

Logik tak masuk akal

Secara waras dan logik, wajarkah wujud sebuah parti sedemikian rupa? Sungguh tidak masuk akal langsung. Fitnah-fitnah yang terlampau jahat ini sesungguhnya hanya berniat untuk kepenting politik sesetengah pihak yang tiada idea atau hujah yang baik sebagai alternatif kepada perjuangan DAP.

Juga tohmahan bahawa DAP merupakan parti komunis dan parti untuk orang Cina sahaja merupakan fitnah yang paling besar sekali. Ia merupakan parti tanpa kaum (non-racial) yang memperjuangkan hak semua kaum di Malaysia.

Malahan, penubuhan DAP itu sendiri adalah sebagai alternatif kepada kebangkitan komunis yang aktif semasa tahun-tahun 1950-60-an dahulu serta memberi pilihan ‘jalan tengah’ untuk Malaysia, iaitu ia bukan berhaluan kiri atau kanan, dan hanya berjuang untuk menolak politik perkauman pecah dan perintah yang diamalkan oleh pemerintah Perikatan.

Jalan tengah atau dalam bahasa politik semasa “Middle Malaysia” merupakan jalan tolerasi dan moderasi yang menjamin kemakmuran dan keadilan di Malaysia. Ia adalah jalan pilihan majoriti rakyat yang menolak ektremisme kiri dan kanan.

DAP bukan parti yang memperjuangkan sistem pasaran bebas yang amat terbuka tanpa kawalan. Ia mempercayai bahawa jaminan keselamatan ekonomi dan sosial adalah yang paling utama untuk rakyat Malaysia, terutamanya dalam masyarakat berbilang kumpulan etniknya.

Ia juga bukan parti komunis, sama ada atas logik tidak masuk akal kononnya perjuangan DAP sama dengan Parti Komunis China mahu pun atas alasan kurang cerdik kononnya ia mengamalkan sistem ekonomi perancangan pusat.

Prinsip demokrasi sosial yang membawa kepada jalan tengah Malaysia, itulah rahsia kekuatan DAP. Dan rahsia itu ingin dikongsi bersama dengan semua rakyat yang dahagakan kebenaran, keadilan, demokrasi, hak dan peluang saksama serta kemakmuran dan kestabilan negara. – Roketkini.com