Berita

MCA yang semakin tak relevan terus memfitnah DAP

GEORGE TOWN, 22 DIS – Timbalan Setiausaha Agung Wanita MCA Tan Cheng Liang yang sebelum ini menuduh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menindas kaum Cina di negeri itu kerana membantu orang Melayu, kini membawa satu lagi fitnah baru.

Kali ini, Tan yang juga Pengerusi Wanita MCA Pulau Pinang, cuba melaga-lagakan DAP dengan Pakatan Rakyat melalui dakwaannya bahawa DAP kemaruk jawatan Menteri Besar Selangor tetapi takut untuk berbuat demikian.

Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow membidas putar-belit Tan dengan menjelaskan bahawa tuduhan kononnya DAP mahu jawatan Menteri Besar Selangor sama pelik dengan logik MCA mahu jawatan Menteri Besar Johor.

“Saya meminta semua pihak, khususnya media kawalan MCA, supaya menghentikan spekulasi kononnya DAP yang mahu menambah kepelbagaian kaum dalam mendapatkan kerusi pilihan raya umum akan datang, dikaitkan dengan usaha mendapatkan jawatan dan kedudukan tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, Tan cuba menggambarkan bahawa DAP bukan rakan setara dalam Pakatan tetapi hakikatnya kedudukan MCA dalam Barisan Nasional jauh terkebelakang dalam gabungan yang didominasi sepenuhnya oleh UMNO.

Memetik laporan Wikileaks baru-baru ini, Chow menyatakan bahawa seorang bekas presiden MCA telah mengakui bahawa MCA memang dipinggirkan oleh BN dan perkara itu disedari semua orang, daripada usahawan besar kepada penjaja, tetapi MCA tidak boleh mengakui hakikat itu secara terbuka.

Chow yang juga Ahli Parlimen Tanjong menjelaskan bahawa DAP adalah rakan kongsi setara dalam Pakatan yang komited untuk membawa perubahan demokratik di Malaysia.

“Berbeza dengan MCA yang sentiasa berdiam diri dan tidak dapat mewakili perjuangan rakyat menentang dominasi UMNO, DAP bersatu-padu dengan PAS dan PKR dalam Pakatan.

“Di mana suara MCA apabila Kedai Rakyat 1Malaysia didedahkan sebagai satu pembohongan? Di mana suara MCA dalam isu salah tadbir wang ternak lembu digunakan untuk membeli kondominium mewah dalam skandal National Feedlot Corporation? Di mana suara MCA apabila kedudukan Malaysia merudum dalam indeks persepsi rasuah?

“Di mana suara MCA apabila hak rakyat untuk berhimpun secara aman dan berekspresi dinafikan oleh kerajaan BN? Di mana MCA apabila rakyat Malaysia berhimpun di jalan raya untuk menuntut pilihan raya yang bebas dan adil?” soal beliau.

Tambahnya, rakyat tidak melihat kelibat MCA apabila ada orang tidak bersalah mati sewaktu disoal siasat, dan rakyat tidak nampak bayang MCA apabila Datuk Seri Najib Razak berjanji untuk mansuhkan ISA tetapi mahu digantikan dengan dua akta zalim yang baru.

Malah, katanya, MCA membisu seribu bahasa apabila Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Taib Mahmud terus dilindungi kerajaan walau pun banyak pertubuhan antarabangsa mahu membawanya ke mahkamah atas tuduhan mengumpul kekayaan melalui cara-cara yang mencurigakan.

Menurutnya, MCA juga tidak berbuat apa-apa apabila wang haram bernilai lebih RM1,000 bilion mengalir keluar dari negara yang boleh mengakibatkan krisis ekonomi yang besar.

“Apabila semua gejala buruk ini berlaku, di mana MCA?” soal beliau. – Roketkini.com