Rencana

Nostalgia perjuangan guru – Oleh Muhammad Nazreen

5 JANUARI – Sebut sahaja nama Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), rata-rata rakyat yang hidup sebelum dan sesudah Perang Dunia Kedua  meremang bulu roma mereka hasil daripada tiupan semangat nasionalisme kelahiran para guru dari situ.

Apakan tidak, di awal penubuhannya sahaja sudah cukup meyakinkan rakyat  untuk mengakui kebangkitan para gurulah yang mendorong gerakan kebangsaan untuk memulai wacana kemerdekaan negara.

Pasti, slogan mahasiswa khususnya bakal guru sebagai ‘juru bicara’ rakyat bukanlah hal yang asing dan terpisah dari masyarakat.

Dahulu, kita sudah menyaksikan anak-anak bangsa kita yang berjuang menuntut kemerdekaan adalah merupakan mahasiswa perguruan. Jadi, atas teras inilah golongan yang memperkecilkan kelompok pelajar perguruan bermakna mereka tidak ubah seperti berusaha menterbalikkan sejarah yang sahih di sisi masyarakat.

Tidak usahlah kita memperkecilkan potensi pelajar pada hari ini atas alasan mahasiswa kita akan ketinggalan, abai pada perintah dan harapan ibu-bapa, dilalaikan di dalam larut politik semasa.

Apakah pejuang kemerdekaan yang terbit daripada semangat pencerahan para guru suatu ketika dahulu sebenarnya berpijak di ruang yang fana dan berpaksi di atas kayangan?  Sudah-sudahlah memperkecilkan bakal pendidik ini.

Dan akhirnya kita terpaksa akur bahawa dongak dan tunduknya bangsa kita ini adalah tersandar dengan tidur atau sedarnya bakal pendidik kita. Merekalah pencorak generasi dan penentu utama masa hadapan Malaysia.

Kebangkitan perjuangan guru

Melintas kembali romantisnya sejarah perjuangan pelajar perguruan MPSI yang kini dikenali dengan nama Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), cetusan gerakan kemerdekaan awal menerusi Kesatuan Melayu Muda sekitar 1930 adalah diasaskan oleh seorang graduan MPSI yang bernama Ibrahim Haji Yaakob.

Bermulanya gerakan radikal yang saya kira mungkin detik pertama dalam usaha memerdekakan tanahair kita ini disulami kebangkitan golongan terpelajar tidak lain tidak bukan dari UPSI sendiri.

Siapa pula Harun Aminurrashid?  Apa latar belakang pendidikan pendeta Za’ba ( Bapa Kesusasteraan Melayu Moden) atau tahukah kita dari manakah bermula perjuangan Aminuddin Baki? Seorang reformis pendidikan kita yang merupakan sebahagian  lingkaran kebangkitan para guru untuk meniup semangat kebangsaan negara.

Jadi, penerus kebangkitan nilai kebangsaan ini bermula dengan jatuh bangunnya pelajar perguruan. Kalau mahu bercerita sumbangan besar mereka, saya kira satu hari pun belum tentu cukup untuk menggambarkan betapa pentingnya kebangkitan guru dalam menegakkan keadilan dan hak  rakyat yang tertindas.

Memori luka

Kini, memori luka perjuangan pelajar perguruan yang juga pejuang kemerdekaan negara agak sedikit tersadur menerusi penerusan mahasiswa-mahasiswa yang aktif memperjuangkan hak mereka.

Kita sudah cukup penat untuk dibebani dengan krisis yang melanda para guru kita. Dari satu hak kepada hak yang lain ditarik, dibebani dengan beban tanggungjawab mendidik dan memerdekakan minda anak bangsa tetapi persoalan utama inikah layanan sebenar pihak berkuasa terhadap bakal pendidik kita dengan diherdik dan diperlakukan sebegini lupa?

Sudahlah begitu, parti pemerintah yang suatu masa dahulu bergantung kepada sumbangan para guru telah meminggirkan mereka kerana ghairah dengan ‘tokoh korporat’ dan ‘profesional’. Akhirnya ia terpalit dengan jenayah dan dosa rasuah serta penyelewengan yang juga bertaraf ‘korporat’ dan ‘profesional’.

Adakah pemerintah sedar apa yang mereka lakukan ini seumpama membunuh masa depan bangsa Malaysia kita?

Sebutkan pada mereka di celah mana sekalipun, sejarah kebangkitan rakyat seluruh dunia tidak satu pun yang memperkecilkan sumbangan mahasiswa dalam mendalangi peristiwa-peristiwa terbabit.

Hal kemuncak kebangkitan mahasiwa sendiri seperti yang dunia lihat adalah menerusi protes pelajar 15 April 1989 di Tiananmen Square di China dimana kebangkitan yang didokongi gerakan pelajar bukanlah fakta yang diruncit tanpa penjelasan fakta sejarah yang kukuh. Begitu juga kebangkitan mahasiswa dan bakal guru di Indonesia dalam reformasi 1998.

Jadi, di mana letaknya kumpulan pelajar ini di sisi masyarakat kita? Adakah mahasiswa kita sudah cukup tercerah sekiranya mereka hanya larut di dalam sistem yang melahirkan pelajar secara teknikal berilmiah tetapi tidak mampu bersifat kritis terhadap ranah pendidikan kebangsaan ini?

Sampai bila untuk kita sanggup melihat kegagalan demi kegagalan tercipta hanya untuk menutup kerang busuk yang membuat onar. Saya percaya peristiwa pembantaian mahasiswa 1 Januari lepas seharusnya menjadi titik tolak untuk sama-sama kita berganding tangan menentang kemusnahan yang sedang tercipta.

Sedar dari lena yang panjang

Mahasiswa ini bukan menuntut ruang untuk berhibur dan berfoya-foya tetapi mereka cuba mengabdikan diri mereka untuk terbabit dalam tanggungjawab kenegaraan. Suara-suara kecil mereka mahu didengari sebagai senjata yang membela rakyat jelata supaya tidak ditipu penguasa.

Akhir sekali, kita harus akur bahawa kebangkitan guru dan bakal guru inilah sumbu yang menyalakan pelita kebangkitan rakyat menentang kezaliman penguasa. Tinggal apa lagi ~ sedarlah para guru dari lena yang panjang, tiupan kebangkitan hanya tunggu tersebar bila anda semua bangkit melawan kebobrokan. – Roketkini.com