Rencana

Berubah adalah lebih baik – Oleh Hafiz Zainuddin

Sejak sekian lama pilihan raya, rakyat memilih Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional. Pilihan itu biasanya atas sebab ‘dah biasa’ atau ‘selesa’ atau ‘keturunan’, atau agak ramai juga melakukannya kerana ‘keyakinan’.

Persoalannya, apakah keyakinan tersebut berpandukan kepada nilai-nilai yang benar atau kita istilahkan sebagai kebenaran? Atau mungkin kita tidak memilih kebenaran kerana kebenaran itu pahit? Mungkin juga kerana alah bisa, tegal biasa?

Jika kita mengundi BN, mungkin pada mulanya kita boleh berbangga dengan projek Port Klang Free Trade Zone (PKFZ) yang sepatutnya mampu memajukan ekonomi negara dalam satu jangka masa tertentu.

Tetapi sebagai penyokong BN, apakah kita ambil pusing terhadap penyelewengan yang berlaku sehingga RM12 billion ringgit wang kita? Yakni wang hasil cukai yang kita bayar setiap hari seperti cukai pendapatan, cukai perkhidmatan apabila makan burger di restoran makanan segera, cukai atau caj membeli kereta, membeli rokok dan sebagainya.

Membina keyakinan dengan material

Sebagaimana firaun di zaman Mesir purba yang membina istana dan piramid sebagai simbol kekuatan dan kekuasaan, ia juga banyak dilakukan oleh kerajaan-kerajaan moden termasuk Malaysia untuk menunjukkan keangkuhan kepada rakyat tentang siapa yang memegang tampuk kuasa.

Mana-mana negara fasis dan yang menganggap diri sebagai kuasa besar, cuba menggambarkan diri sendiri sebagai yang terbaik dan terhebat dengan pembinaan loji nuklear, bangunan tertinggi, menara berkembar tertinggi, monumen-monumen pemimpin dan sebagainya.

Semuanya tidak lain adalah untuk meyakinkan rakyat, menunjukkan bahawa negara dalam keadaan stabil dan kuat, menggamit pelabur asing mahu pun menggerunkan musuh. Mekanisme yang serupa juga digunakan oleh BN bagi menggambarkan sesuatu dengan harapan mendapat simpati dan keyakinan rakyat.

Membina keyakinan tanpa material

Kejayaan Pakatan Rakyat menang besar pada pilihan raya umum 2008 merupakan satu kejutan. Simbol kepada perubahan. Dari itu kita tahu bahwa rakyat boleh saja memilih selain dari parti turun temurun Barisan Nasional untuk meneraju kerajaan.

Ada banyak sebab mengapa memilih Pakatan Rakyat.  Mungkin sebahagian kita meluat dan marah dengan diskriminasi dan karenah birokrasi akan hal-hal seperti bantuan kemiskinan dan zakat, mungkin juga atas kesedaran kolektif yang dipandu teknologi, atau mungkin semata-mata bersetuju dengan tawaran Pakatan Rakyat.

Apa pun, perubahan berlaku. Pertukaran keyakinan boleh dan telah pun berlaku. Hasil kejayaaan Pakatan Rakyat di Selangor, Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Kelantan, rakyat di negeri-negeri ini menikmati kemakmuran yang lebih di samping urus tadbir negeri dan wang negeri yang telus dan memberangsangkan.

Tidak boleh dinafikan. Urus tadbir yang telus tidak dapat dibuktikan dengan pembinaan banyak bangunan atau kejayaan projek ternakan udang mahu pun lembu. Ia amat bersangkutan dengan komitmen, polisi dan nilai yang dipegang oleh sesebuah kerajaan.

Salah satu contoh terbaik adalah kejayaan Pulau Pinang dengan dasar C.A.T  (cekap, akauntabel dan telus) yang diamalkan. Sebab itu ‘nilai’ sangat penting. Dengan nilai, keyakinan baru akan terbentuk diluar kerangka material dan sudah pasti ianya jauh lebih menjimatkan wang!

Soal keyakinan ini perlu jelas. Tidak semestinya BN yang kita yakini selama ini mampu melakukan yang terbaik. Dan tidak semestinya Pakatan Rakyat yang dimomokkan dengan tuduhan negatif melalui media massa yang dikawal sepenuhnya oleh BN, tidak boleh menjadi sebuah kerajaan yang jauh lebih baik.

Ketelusan dan kejayaan Pakatan Rakyat mentadbir negeri telah terbukti biar pun diganggu gugat oleh ejen-ejen BN dari luar mahu pun dalam.

Sekiranya prinsip keadilan dan tanggungjawab ditekankan, maka, tidak timbul soal diskriminasi dan penindasan. Itulah asas paling mendasar dalam perjuangan Pakatan Rakyat yang amat dicemburui Barisan Nasional.

Bagaimana nilai dan keyakinan baru terbentuk?

Persoalan paling asas adalah, apakah dengan adanya Jabatan Audit Negara, maka wang negara milik rakyat tidak akan bocor? Apakah dengan adanya subjek Pendidikan Moral atau Pengajian Agama di sekolah maka pelajar-pelajar sekolah akan menjadi ‘bermoral’ dan ‘berakhlak’ serta baik? Apakah dengan adanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) maka rasuah tidak akan berlaku?

Jawapannya sama sekali tidak. Ia merujuk kepada komitmen sesebuah kerajaan dan berbalik kepada bagaimana sesebuah masyarakat merubah pandangan mereka terhadap sesuatu perlakuan misalnya.

Jadi, kalau dulu kita meyakini BN untuk membangunkan negara, mungkin jawapannya adalah “ya”. Mungkin secara tipikal kita menjawab, “Mana-mana kerajaan sekali pun seperti kerajaan negara China yang berfahaman komunis, mereka lebih membangun dan maju dari kita…”. Malah di China, perasuah boleh dihukum mati dan telah pun ada yang dihukum mati.

Jadi bagaimana dengan amalan rasuah yang menjadi budaya kepimpinan Barisan Nasional selama ini? Bagaimana amalan itu menjadi mainan para pemimpin UMNO yang menjadi tulang belakang BN? Bagaimana mereka yang mengaku wira agama menjadi pemain besar rasuah dan penyelewengan? Itu yang menjadi persoalan. Bagaimana besar pun bangkai gajah ditutup, ia akan tetap berbau.

Berubah dengan keyakinan matang

Keyakinan mengatasi segalanya, perubahan boleh berlaku tanpa atau dengan nilai yang baik. Jadi, kita punya pilihan. Percayalah, perubahan akan datang dengan nilai yang baru.

Siapa sangka Anwar Ibrahim disungkurkan secara dramatik oleh Mahathir Mohamad. Oleh kerana beliau disingkirkan, maka ia membuka mata dan ruang baru bagi seluruh rakyat Malaysia untuk berfikir.

Lebih-lebih lagi tercetusnya era reformasi di mana kita dibongkarkan dengan pelbagai penyelewengn dan salah guna kuasa yang wujud dalam kerajaan yang selama ini didiamkan. Siapa yang menyangka pemecatan Anwar akan membuka dimensi baru?

Sebab itu, kita perlu akur bahwa keyakinan baru akan wujud setelah berlaku perubahan. Malah, perubahan yang jauh lebih indah daripada apa yang ada hari ini. Mungkin ada antara kita masih belum melihat kejijikan yang ada dalam UMNO dan BN sekarang kerana semua TV, radio dan akhbar hanya menonjolkan yang indah dan cantik sahaja.

Namun, seperti yang dicatat di atas, bangkai gajah tetap akan berbau juga walau ditudung indah dengan berita dan laporan media yang amat berat sebelah dan tidak adil. Apabila terdedah bau bangkai, mungkin ramai yang terkejut besar dengan kemungkaran penyelewengan dan salah guna kuasa yang selama ini cuba diselindung di sebalik nyiru yang bernama media massa.

Paling tidak pun, buat permulaan hari ini, ramai antara kita perlu mencuci pinggan mangkuk kita sendiri selepas makan. Kalau dibiarkan, ia akan membusuk dan lalat akan menghurung. Maknanya kuasa perubahan ada di tangan kita. – Roketkini.com