Budaya

Muhammad Haji Salleh, ilmuan dan budayawan abadi – Oleh Zairil Khir Johari

“Bagai sireh pulang ke gagang: Sekitar pemikiran dan sumbangan Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh” telah menjadi tajuk  Forum Nusantara Siri ke-4 anjuran Penang Institute di Auditorium F, Komtar pada 14 April lalu.

Acara ini merupakan sebahagian daripada sambutan ulang tahun kelahiran Sasterawan Negara Prof Emeritus Muhammad Haji Salleh yang ke-70.

Barisan panelis yang dijemput untuk membicarakan tajuk tersebut terdiri daripada budayawan Eddin Khoo serta pensyarah-pensyarah Prof Madya Dr Mawar Safei dan Puan Haryati Ayit yang mana moderatornya adalah Prof Dato’ Dr Abdul Kadir Lebai Din.

Sememangnya forum yang turut dihadiri oleh Sasterawan Negara sendiri telah mendapat sambutan yang amat memberangsangkan daripada para hadirin, khususnya anak muda, yang hampir melimpahi kapasiti auditorium.

Selain membentangkan konsep-konsep tersurat dan tersirat dalam karya-karya Prof Muhammad, barisan panelis juga telah berkongsikan sedikit ciri-ciri peribadi tokoh sastera Pulau Pinang ini seperti sifatnya yang pendiam dan pencinta alam sekitar. Prof Muhammad juga telah didedahkan sebagai seorang yang “tidur bersama kamusnya” – begitulah tahap cintanya terhadap bahasa.

Panelis-panelis juga telah membincangkan gaya bahasa puisi yang digunakan Prof Muhammad, serta bagaimana karya-karyanya berjaya menggambarkan keintelektualan tanpa menggunakan emotif berlebihan. Antara sifat-sifat yang menjadi “cap dagang” Prof Muhammad adalah ayat-ayatnya yang mementingkan kebijaksanaan tempatan, keadilan, kesaksamaan serta sifat yang bertradisi namun tetap bersahaja.

Sumbangan Prof Muhammad terhadap persuratan dan kesusasteraan Melayu adalah tidak terhingga. Sesungguhnya sesiapa sahaja yang melayari karya-karya unggulnya seperti Perjalanan Pulang Si Tenggang II dan Sajak-sajak Sejarah Melayu lantas akan melayari suatu pengembaraan ilmu bersama budayawan yang istimewa ini.

Walaupun wacana pada pagi itu tidak berkesempatan untuk meneroka dengan lebih mendalam sumbangan-sumbangan Prof Muhammad, namun yang pastinya perjuangan Sasterawan Negara Pulau Pinang ini adalah perjuangan abadi yang wajib menjadi iktibar bagi seluruh rakyat Malaysia, khususnya pencinta seni-budaya.

Penang Institute merai ikon kebudayaan, Anugerah Sastera akan dilancarkan

Sambutan ulang tahun kelahiran Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh telah disambungkan dengan acara Malam Kemuncak pada malam yang sama yang berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 500 orang jemputan.

Majlis makan malam yang penuh kesenian itu telah dianjurkan bukan sahaja untuk merai dan menghargai seorang tokoh sastera Pulau Pinang, tetapi juga untuk menekankan bahawa pertumbuhan ekonomi di Pulau Mutiara hendaklah juga disampingi oleh pembangunan seni-budaya.

Dalam ucapan pengantar majlis oleh Ketua Menteri Pulau Pinang dan Pengerusi Penang Institute Lim Guan Eng, beliau telah mengutarakan pendapatnya bahawa adalah sangat malang sekiranya khazanah bangsa Malaysia dibiarkan terpadam, khususnya di Pulau Pinang yang pernah pada suatu ketika dahulu menjadi pusat kebudayaan yang penting di rantau Nusantara.

Ketua Menteri juga telah mengumumkan bahawa Penang Institute akan memperkenalkan Anugerah Sastera Pulau Pinang sebagai usaha untuk menggalakkan serta merancakkan lagi minat dalam bidang sastera dan budaya di kalangan rakyat Pulau Pinang, khususnya anak-anak muda.

Malam tersebut telah dimeriahkan oleh persembahan Buddhi Hekayat (Hasmi Hashim), penulis lirik lagu “Awan Nano”, yang telah mendeklamasikan sajak dengan begitu memukau sekali. Di samping itu, para hadirin juga berkesempatan untuk mendengar sebuah pengkisahan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, seorang teman rapat Prof Muhammad, yang telah membuat ucapannya melalui rakaman video.

Acara khas pada malam tersebut merupakan pidato oleh budayawan Indonesia dan pengasas majalah Tempo iaitu Goenawan Mohamad yang telah bersenandung kepada para hadirin dengan pembedahan sisi-sisi teknikal dan “magis” dalam pantun Melayu, seni tradisi yang dikongsi bersama di alam Nusantara.

Majlis telah diteruskan dengan pemotongan pulut kuning dan diikuti dengan pelancaran buku puisi edisi khas ulangtahun ke-70 Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh yang bertajuk “Sehelai Surat Saujana” oleh Ketua Menteri Pulau Pinang.

Dalam ucapan pengakhir majlis, Prof Muhammad telah menyatakan perasaan terharu terhadap sambutan yang sebegitu meriah buat dirinya. Beliau juga telah mengucapkan ribuan terima kasih kepada Penang Institute dan para hadirin yang telah meraikan bukan sahaja dirinya, malah budaya kesusasteraan secara umumnya. – Roketkini.com