Rencana

BN kotor atau kita tamak?

Komentar Roketkini

Tun Dr Ling Liong Sik telah mendedahkan bahawa Barisan Nasional mampu menang dalam pilihan raya umum akan datang kerana ia sedang menabur terlalu banyak wang; sesuatu yang tidak pernah berlaku sehebat sekarang.

Dalam wawacancara bersama dengan akhbar Sin Chew Daily, bekas Presiden MCA itu mengatakan wang itu – wang cukai rakyat dan hasil sumber alam negara – ditabur atas pelbagai jenis nama.

Kenyataan itu bukan datangnya daripada pembangkang atau Pakatan Rakyat atau mana-mana pihak yang menentang BN. Dr Ling yang juga bekas Menteri Pengangkutan tahu apa yang baik dan buruk dalam BN dan kerajaan sejak beberapa dekad.

Malah, semua orang tahu Dr Ling kini didakwa di mahkamah atas tuduhan menipu kerajaan Malaysia dengan mengelirukan Kabinet untuk memberi persetujuan terhadap pembelian tanah bagi projek Port Klang Free Zone (PKFZ). Skandal PKFZ telah meragut RM12.5 bilion wang rakyat!

Kini beliau tampil untuk mendedahkan betapa hebatnya kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Najib Razak mencurahkan wang untuk “membeli” undi dalam PRU yang diadakan tidak lama lagi.

Malah, Dr Ling yang lama berkhidmat dengan kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah menyalahgunakan serta membazirkan wang rakyat RM1 trilion selama 22 tahun pemerintahannya, turut terkejut dengan taburan wang yang amat hebat sekarang ini.

Persoalan sebenar

Persoalannya bukan sama ada BN korup atau tidak kerana umum mengetahui betapa kerajaan yang semakin tidak relevan ini bukan sahaja terus mengabaikan amanah kepada rakyat serta semakin menyeleweng, ia juga sudah tidak punya apa-apa perancangan lagi kecuali “merasuah” rakyat melalui curahan wang milik rakyat sendiri.

Persoalannya ialah adakah para pengundi akan dapat dibeli atau disogok dengan pemberian jangka pendek yang bakal memangsakan semua rakyat Malaysia apabila BN kembali mendapat mandat untuk memerintah dalam PRU akan datang.

Jika kita sebagai pengundi bersikap tamak dan lupa diri dengan sedikit habuan – sama ada RM100 atau RM500 – maka bersiap sedia untuk menerima satu lagi era pemerintahan di mana kerajaan menganggap rakyatnya sebagai anak-anak kecil yang boleh dirasuah dengan sebutir gula-gula.

Siapa yang berkuasa menentukan perubahan?

Sekadar marah tetapi terus mengulangi kesilapan yang sama dengan memilih parti serta kerajaanyang jelas enggan berubah atau membawa reformasi yang dituntut oleh rakyat, hanyalah seperti anjing menyalak bukit.

Walau sekecil atau sebesar mana wang yang dicurahkan oleh kerajaan, ia adalah hak rakyat sendiri. Ia bukan datang dari poket menteri atau keluarga serta kroni mereka. Dan ia tidak boleh dijadikan asas “membalas budi” kerana ia sememangnya milik kita.

Daripada 28 juta penduduk Malaysia, berbelas juta adalah pengundi berdaftar. Ini bermakna jutaan kita memilih hanya 222 Ahli Parlimen, dan daripada jumlah itu, parti yang menang majoriti membentuk Kabinet yang berjumlah lebih kurang 30 Menteri.

Siapakah yang sebenarnya berkuasa? Undi dan kuasa memilih berada di tangan kita. – Roketkini.com