Berita

Lim Kit Siang difitnah isu Raja Melayu

PETALING JAYA, 18 JULAI: DAP hari ini membuat satu lagi pendedahan terhadap fitnah yang  disebarkan melalui sebuah surat khabar ‘palsu’ yang telah diedarkan di Selangor.

Akhbar ‘Selangor Kita’ yang mengandungi cerita-cerita palsu akhbar tersebut menerbitkan apa yang didakwa kononnya sebagai komen Lim Kit Siang kepada Raja-raja Melayu.

Kit Siang yang merupakan Ketua Parlimen DAP turut membaca kenyataan fitnah yang telah dibuat terhadapnya oleh akhbar berkenaan yang mendakwa kononnya mendapat sumber daripada DAP.

Akhbar bersifat rasis itu telah menuduh Kit Siang kononnya berkata: “…Raja-raja melayu semuanya Lanun. Semuanya perompak.Kata Lim Kit Siang lagi, buat apa hormat Agong, buat habis wang ringgit cukai rakyat sahaja beri pada Raja-raja Melayu.”

Kit Siang mendedahkan fitnah jijik dan tidak bermaruah itu dalam sidang media yang diadakan di sini hari ini bagi menafikan pembohongan yang keterlaluan oleh akhbar berkenaan yang mana kandungannya hanya membodek UMNO serta mengeji Pakatan Rakyat.

“Saya tidak pernah cakap begini. Ini adalah satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan menunjukkan mereka terdesak bagi pilihan raya yang akan datang,” kata Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur.

Katanya, para pemimpin DAP yang lain juga tidak pernah mengeluarkan kata-kata keji sedemikian.

Akhbar tersebut tidak mempunyai nama penerbit, yakni melanggar peruntukan permit Kementerian Dalam Negeri.

Tidak diketahui sama ada akhbar berkenaan ditaja oleh pemimpin tertentu daripada UMNO atau BN. – Roketkini.com