Berita

Forum Nusantara bakal soal ke mana Melayu Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 30 OGOS: Forum Intelektual Nusantara anjuran Penang Institute datang lagi untuk ronda ke enam, kali ini menampilkan tajuk besar mempersoal hala tuju Melayu Pulau Pinang setelah lebih setengah abad merdeka.

Forum yang dijadualkan berlangsung pada 8 September itu akan membariskan YB Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, Ahli Parlimen Parit Buntar, YB Senator Prof Madya Ariffin Omar, Senator Dewan Negara dan juga Pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, YB Nik Nazmi Nik Ahmad, Ahli Dewan Undangan Negeri Sri Setia.

Ronda kali ini turut membawakan wakil daripada UMNO, Dato’ Raja Munir Shah, Timbalan Ketua Bahagian UMNO Tanjong. Forum ini akan dikendalikan oleh Prof Madya Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid, pensyarah dari Pusat Pengajian Jarak Jauh, USM.

Dalam jemputan rasminya, Penang Institute menyatakan bahawa ia mengambil inisiatif untuk menganjurkan forum ini bagi menilai pencapaian dan cabaran yang dihadapi oleh masyarakat Melayu Pulau Pinang sepanjang sejarah negara.

“Penang Institute percaya, polemik masyarakat Melayu tidak wajar dilihat daripada kaca mata politik kepartian semata-mata. Terdapat banyak dimensi lain yang boleh dilihat dan diusahakan untuk menambah baik situasi sedia ada.

“Harus juga diinsafi bahawa kedudukan Melayu Pulau Pinang mampu untuk menjadi lebih baik daripada sekarang. Berdasarkan sejarah yang gemilang, masyarakat Melayu Pulau Pinang kini tidak harusnya berjiwa kecil bagi mendepani cabaran semasa,” ujar insitut itu lagi yang dahulunya dikenali sebagai SERI.

Bertempat di Hotel Seri Malaysia, Kepala Batas, dan dijadual bermula jam 8 malam sehingga 11 malam, forum ini adalah terbuka kepada umum secara percuma. Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan majlis sambil menambah ilmu pengetahuan. – Roketkini.com