Berita

Bukan setakat Sains, Matematik, tahap bahasa Inggeris juga teruk, memalukan – Kit Siang

KUALA LUMPUR, 18 DISEMBER: Bukan setakat subjek Sains dan Matematik, malah tahap bahasa Inggeris di Malaysia juga jatuh teruk dan memalukan selepas empat dekad UMNO-BN memerintah negara, kata Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

“Saya tak pasti samada untuk ketawa atau menangis mengenai tahap bahasa Inggeris di Negara ini yang jatuh teruk itu,” katanya.

Beliau berkata, minggu lalu, Malaysia diaibkan peringkat nasional dan antarabangsa apabila laporan Kajian Aliran Dalam Sains dan Matematik Antarabangsa (TIMMS) 2011 mendapati negara menduduki gred kelapan dalam Matematik dan tempat ke-20 pada 2007 kepada tempat ke-26 tahun lalu.

Katanya, manakala kedudukan dalam Sains jatuh dengan margin yang lebih besar, daripada tempat ke-21 pada 2007 ke tempat ke-32 pada 2011.

“Kedua-dua subjek itu jauh lebih rendah daripada purata antarabangsa. Yang lebih teruk Malaysia juga diaibkan apabila jatuh antara 45 negara yang terbabit dalam kajian Sains dan Matematik sedangkan Negara lain bertambah baik atau kekal pada tahap sebelumnya.

“Satu lagi bidang yang sama kritikal ialah sistem pendidikan Malaysia gagal dengan teruk dalam subjek Bahasa Inggeris, yang digambarkan dalam tempoh 24 jam lalu,” katanya.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, adalah sangat tidak masuk akal bahawa pemahaman Bahasa Inggeris yang sebegitu lucu boleh terjadi di Malaysia 40 tahun lalu.

“Baru-baru ini, seorang Menteri Besar yang pemahaman Bahasa Inggerisnya begitu teruk sehingga “mencipta” kiasan dalam Bahasa Inggeris yang beliau saja faham – apabila mengatakan mengenai “mengerat telinga beliau” dan “terjun ke dalam sungai” di Pahang sekiranya MCA tewas kepada DAP di Bentong pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

“Setiap orang yang mencari di internet cuma dapat menemui kiasan seperti “cutting the nose to spite the face” dan “jumping into the lake” bukannya “cutting my ears” atau “jumping into the river”!,” katanya

Beliau berkata, sudah tentu, rakyat Malaysia tidak dapat lupa mengenai seorang lagi Menteri Besar yang mendakwa dirinya tidak tahu berbahasa Inggeris sebagai justifikasi membawa tunai RM1 juta ke Australia.

Katanya, Malaysia adalah negara dengan pelbagai krisis di dalam tadbir urus dan pembinaan bangsa, termasuklah pelbagai krisis di dalam pendidikan.

“Oleh itu, marilah kita lebih serius berkenaan pendidikan, tadbir urus yang baik dan pembinaan bangsa serta berhenti membuatkan diri kita bahan jenaka antarabangsa,” ujarnya. – Roketkini.com