Berita

DAP angkat martabat ekonomi Melayu Pulau Pinang

KUALA LUMPUR, 18 DISEMBER: DAP menganggap kenyataan Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama), Datuk Moehamad Izat Emir mengenai “Ekonomi Melayu tergugat jika DAP diberi kepercayaan” sebagai dangkal, tidak berasas dan bermotif perkauman.

Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Zairil Khir Johari berkata, DAP adalah sebuah parti politik yang konsisten dalam pelaksanaan dasar tadbir urus yang cekap, bertanggungjawab dan telus, seperti yang dibuktikan pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang selama hampir lima tahun.

Katanya, tambahan pula keberkesanan tatakelola pentadbiran yang dilaksanakan kerajaan Pulau Pinang mendapat pengiktirafan dan pengesahan daripada Laporan Ketua Audit Negara setiap tahun.

“Bagaimana mungkin ciri ketelusan dan kebertanggungjawaban boleh menjadi ancaman kepada orang Melayu. Hipotesis yang kurang waras ini hanya diguna sesetengah pihak yang tidak berdaya saing akibat kebergantungan mereka kepada sistem kroni dan amalan rasuah.

“Contohnya, setelah beberapa tahun pelaksanaan sistem tender terbuka yang diperkenalkan kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang, didapati lebih 70 peratus kontrak kerajaan negeri dianugerah secara telus dan terbuka kepada kontraktor Melayu yang berdaya saing.

“Ini membuktikan kontraktor Melayu tulen diperkasa dan tidak perlu lagi bergantung kepada “kabel politik”, seperti yang menjadi kebiasaan ketika kerajaan BN memerintah Pulau Pinang sebelum ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Zairil berkata, ternyata dakwaan Moehamad Izat Emir bahawa sokongan lorang Melayu terhadap DAP akan hanya menyebabkan ekonomi dan masa depan mereka terumbang-ambing adalah hanya bagi kroni UMNO dan BN dan bukannya pengusaha Melayu yang tulen dan kuat berusaha.

Beliau berkata, dasar Agenda Ekonomi Saksama (AES) yang diusahakan kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang adalah kerangka yang serba inklusif di mana duit lebihan yang berjaya dikumpul melalui penjimatan dan keuntungan daripada dasar tender terbuka disalurkan kepada rakyat melalui program bantuan yang mensasarkan golongan seperti miskin tegar, warga emas, ibu tunggal, pelajar dan sebagainya.

“Malah, Pulau Pinang menjadi negeri pertama untuk membasmi kemiskinan tegar dan menjelang akhir 2013 bakal menjadi negeri pertama membasmi kemiskinan sama sekali.

“Adalah dangkal dan tidak masuk akal jika model pembangunan yang membantu golongan bawahan ini, khususnya golongan miskin dan daif, dianggap menggugatkan masyarakat Melayu,” katanya.

Menurut Zairil, dasar DAP dan Pakatan Rakyat yang dilaksanakan di Pulau Pinang memanfaat dan memartabatkan masyarakat Melayu, serta menjalinkan pertumbuhan ekonomi yang lebih sihat dan berdaya saing, sedangkan UMNO dan BN menggagal dan menyeleweng rakyat, khususnya orang Melayu.

“Di mana keadilannya apabila Melayu dan Bumiputera adalah rakyat termiskin di negara ini sementara pemimpin UMNO dan BN menikmati kekayaan yang luar biasa, seperti Ketua Menteri Melaka yang baru-baru ini menjamu 130,000 tetamu untuk kenduri perkahwinan anaknya dan keluarga Ketua Menteri Sarawak yang didakwa mempunyai kekayaan luar biasa bernilai berpuluh bilion ringgit,” tambahnya.

Beliau berkata, jelas sokongan Melayu terhadap DAP dan Pakatan Rakyat akan membawa manfaat dan keuntungan kepada mereka, manakala sokongan berterusan kepada UMNO dan BN hanya menguntungkan kroni dan pemimpin yang rakus serta memastikan rakyat terus dibelenggu kemiskinan.- Roketkini.com