Berita

“47 tahun berIltizam jadikan Malaysia lebih bersatu, adil, demokratik dan makmur” – Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR, 19 DISEMBER: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, beliau beriltizam selama 47 tahun dalam DAP untuk membantu mewujudkan Malaysia yang lebih bersatu, adil, demokratik dan makmur.

Katanya, beliau akan terus mencurahkan sepenuh tenaga untuk merealisasikan impian melihat perubahan Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.

Sehubungan itu, beliau meminta Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak menamatkan politik kebencian kaum, agama, pembohongan dan menakut-nakutkan rakyat yang mana pemimpin UMNO/BN sebarkan untuk mengekalkan kuasa dan memastikan PRU-13 berjalan lancar, bersih, bebas dan adil.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, Najib sepatutnya secara terbuka menjauhkan diri dan mengecam sesiapa saja yang membangkitkan isu 13 Mei atau “huru-hara” selepas PRU-13 sekiranya UMNO/BN tewas.

“Najib sepatutnya serius dan ikhlas apabila berulang kali mengatakan sejak menjadi Perdana Menteri pada April 2009 bahawa “era kerajaan tahu segalanya sudah berakhir” dan memberi jaminan UMNO/BN akan memastikan peralihan kuasa di Putrajaya kepada Pakatan Rakyat berlaku secara aman sekiranya itu keputusan PRU-13 dan pendirian itu sepatutnya diformalkan dalam bentuk resolusi oleh Majlis Tertinggi UMNO dan BN,” katanya dalam kenyataan media.

Mengenai tuduhan dia tidak dipilih parti menduduki Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Kit Siang berkata, beliau tidak bercadang meminta Najib memohon maaf kerana mendakwa beliau pemimpin berkuasa dalam DAP walaupun tidak dipilih oleh parti.

“Pemimpin UMNO itu menjelajah ke seluruh negara dan mengecam DAP sebagai parti yang tidak demoktratik kerana berada dalam kepimpinan DAP walaupun tidak dilantik sebagai Ketua DAP.

“Saya fikir Najib sudah diperdaya oleh penasihat politiknya atau dia sengaja berbohong walaupun tahu hakikat sebenar yang saya mendapat undi tertinggi pada pemilihan CEC DAP itu.

“Saya mengambil bahagian pada setiap pemilihan CEC sejak DAP ditubuhkan pada 1966, termasuk pada Kongres Kebangsaan DAP ke-15 dan bertuah kerana dipilih dan pada kongres ke-16 Sabtu lalu saya dipilih dengan undi tertinggi,” ujarnya.

Menurut Kit Siang, beliau memohon maaf kepada Najib dan pemimpin UMNO/BN kerana terus dipilih menjadi CEC pada Kongres DAP ke-16 dengan undi tertinggi walaupun pada Perhimpunan Agung UMNO ke-66 akhir bulan lalu parti dalam Pakatan Rakyat iaitu PKR, PAS dan DAP dikecam hebat.

“Saya sengaja menahan diri daripada mematahkan serangan tidak berasas Najib itu kerana mahu melihat tahap mana hormatnya Perdana Menteri terhadap fakta dan kebenaran atau kualiti kebijaksanaan kumpulan penasihat dan setiausaha politik Perdana Menteri.

“Sekiranya Malaysia mempunyai seorang Perdana Menteri yang tidak menghormati fakta atau kebenaran dan terus berbohong bermakna penasihatnya begitu teruk kebijaksanaan politik mereka kerana tidak tahu saya bertanding pada setiap pemilihan CEC dan mendapat undi tertinggi dalam Kongres DAP 2008.

“Saya tidak bercadang meminta Najib memohon maaf kerana merasakan tidak berbaloi. Sekiranya Najib mahu memohon maaf, dia perlu ikhlas.

“Sekarang Najib menukar rentaknya selepas akhbar melaporkan bahawa saya menerima undi tertinggi pada Kongres DAP itu dan semalam di Sandakan, Najib mengatakan DAP parti yang tidak demokratik kerana “Lim Kit Siang mendapat undi tertinggi manakala anaknya Lim Guan Eng di tempat kedua”.

“Sebelum ini, Najib mengatakan DAP tidak demokratik kerana saya bukan pemimpin yang dipilih oleh DAP. Sekarang beliau menuduh DAP sebagai tidak demokratik kerana saya mendapatkan undi tertinggi,” katanya. – Roketkini.com