Berita

Muhyiddin buktikan ‘janji ditepati’ bina bangunan baru SJKT Sungai Rapat

IPOH, 24 DIS: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dituntut mengotakan janjinya memberi peruntukan RM2.5 juta untuk membina bangunan baru Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Gunung Rapat.

Timbalan Pengerusi DAP Negeri Perak, V Sivakumar, berkata Muhyiddin membuat janji itu ketika berucap di hadapan beribu orang India yang datang ke program Pesta Deepavali di Little India, Jalan Lahat, Ipoh, November tahun lalu.

BAgaimanapun, katanya, hingga sekarang wang yang dijanjikan Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran itu masih belum diterima.

“Ini adalah janji kosong yan tidak ditepati Barisan Nasional, sebaliknya semata-mata untuk meraih sokongan dan undi masyarakat India,” katanya dalam satu kenyataan.

Sivakumar yang juga ADUN Tronoh berkata, beliau sudah membawa isu itu dalam Persidangan Belanjawan Dewan Negeri Perak baru-baru ini dan memberitahu tapak baru diluluskan kerajaan negeri di Ampang pada Mei 2012.

“ADUN Sungai Rapat, Datuk Hamidah Osman dan Penasihat Menteri Besar Perak, Datuk Veerasingam sudah menyerahkan dokumen geran tanah itu kepada pihak sekolah dan PIBG dan pada majlis penyerahan kelulusan tanah itu, Datuk Hamidah berjanji kerja pembinaan akan bermula dalam tempoh tiga bulan dan banguanan baru itu akan siap bina selepas setahun.

“Bagaimanapun, sehingga kini sudah tujuh bulan berlalu, tetapi tidak ada apa-apa perkembangan mengenai bangunan baru sekolah berkenaan. Datuk Hamidah juga membuat janji kosong itu kerana menjangka PRU-13 akan diadakan dalam masa terdekat ketika melafazkan janji itu,” katanya.

Menurut Sivakumar. ini membuktikan Barisan Nasional (BN) menipu masyarakat India selama lebih 50 tahun dan masih meneruskan usaha itu dengan mempermainkan perasaan hati mereka.

“Saya terpaksa bertikam lidah dengan Datuk Hamidah dalam persidangan Dewan Negeri kali ini. Saya juga berusaha mendapatkan tanah untuk SJKT Gunung Rapat. Pakatan Rakyat berjuang dan berusaha mendapoatkan tanah SJKT Gunung Rapat di Ampang, sedangkan BN melakukan pelbagai muslihat untuk menafikan hak sekolah itu dan meluluskan tanah di Ampang dalam keadaan yang terdesak,” katanya.

Katanya, rakyat Perak sudah tahu siapa sebenarnya yang memperjuang untuk mendapatkan tanah itu, manakala BN mendakwa memberi tanah itu.

Menurutnya, Hamidah dalam jawapannya mendakwa projek itu belum boleh dimulakan kerana pihak PIBG mahu peruntukan tambahan untuk membina banguanan yang lebih besar daripada cadangan asal.

Katanya, Hamidah mendakwa PIBG sekolah itu sudah memohon peruntukan tambahan kerana wang peruntukan RM2.5juta yang dijanjikan Timbalan Perdana Menteri tidak memadai.

“Saya ingin tahu adakah Hamidah bercakap benar? pihak PIBG SJKT Gunung Rapat harus menjelaskan perkara itu untuk pengetahuan umum dan berapakan peruntukan tambahan yang dimohon PIBG,” katanya. – Roketkini.com