Berita

Siasat bakal calon BN, dedah kelemahan Najib – Dr Ariffin Omar

KUALA LUMPUR, 24 DIS: Tindakan UMNO-BN menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menapis calon mereka yang akan bertanding pada PRU-13 nanti menunjukkan kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak lemah.

Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Senator Dr Ariffin Omar berkata, cadangan itu mungkin Najib mempunyai motif tertentu kerana tidak mahu keputusan yang dia buat nanti dipertikai ahli parti.

Beliau berkata, Najib juga sedar yang dia tidak mampu memilih calon boleh menang untuk bertanding pada PRU-13 nanti kerana kemelut perebutan kuasa dalaman UMNO yang serius.

“Sebab itulah SPRM diberi tugas menapis calon mereka bagi PRU-13 nanti dan mungkin juga diberi tugas menyingkirkan calon yang dirasakan akan menjadi liabiliti kepada kepentingan Najib.

“Maka dengan cara itu Najib boleh terlepas daripada kritikan dan meletakkan tanggungjawab menyingkirkan calon itu kepada SPRM,” kata Ariffin dalam satu kenyataan media.

Ariffin turut membuat andaian bahawa walaupun mungkin ada di kalangan bakal calon BN didapati melakukan rasuah, ia tidak akan dihadap ke muka pengadilan.

“Saya rasa hukuman akan diserah kepada pejabat Setiausaha Agung UMNO atau Lembaga Disiplin UMNO sahaja seperti Tan Sri Isa Samad yang didapati bersalah mengamalkan politik wang ketika pemilihan parti sebelum ini,” katanya.

Selain itu, beliau yang juga Ahli Dewan Negara itu berkata, cadangan Perdana Menteri itu menunjukkan SPRM menjadi alat politik kepada kerajaan BN.

“Ia memperlihatkan satu fakta bahawa SPRM seperti berada di bawah kawalan Perdana Menteri. Persoalannya, mengapa baru kini cadangan seperti itu dibuat,” katanya.

Menurut Ariffin, tugas sebenar SPRM bukan menapis bakal calon pilihan raya tetapi menyiasat secara menyeluruh terhadap sebarang salah-laku dan pendakwaan rasuah serta salah guna kuasa.

Tambahnya, dengan pelbagai skandal seperti isu kapal selam Scorpene, skandal RM40 juta Ketua Menteri Sabah dan pengaliran keluar berbilion wang haram ke luar negara, ia sepatutnya akan membuatkan SPRM sibuk daripada melayan cadangan Perdana Menteri itu.

“Cadangan Perdana Menteri itu nampaknya tidak jujur untuk membanteras gejala rasuah tetapi tidak lebih untuk memberi tekanan kepada mereka yang tidak sekepala dengan beliau,” katanya – Roketkini.com