Berita

Pertandingan di Gelang Patah adalah keputusan Kit Siang, bukan pertukaran kerusi antara DAP dan PKR

SKUDAI, 10 APRIL: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, keputusannya bertanding di Parlimen Gelang Patah pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti adalah keputusan sendiri dan bukan pertukaran dengan mana-mana kerusi Parlimen antara DAP dan PKR.

Katanya, keputusannya memberi laluan kepada PKR untuk bertanding di Parlimen Segamat adalah bersyarat.

katanya selepas melawat Pasar Peladang Skudai, semalam, keputusan DAP melepaskan Segamat dibuat untuk menyelesaikan “semua pertikaian antara DAP dan PKR berkaitan peruntukan kerusi di Johor”, dengan DAP bertanding di tujuh kerusi Parlimen dan 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), termasuk Johor Jaya.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah membuat pengumuman di Tangkak yang melegakan Pengerusi PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng, yang dipilih bertanding di Segamat, kerusi yang ditandingi DAP dan menerima kekalahan pada PRU 2008.

Lim Kit Siang yang juga Penyandang Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, keputusan DAP melepaskan kerusi Parlimen Segamat adalah untuk menyelesaikan “pertikaian antara DAP dan PKR berkaitan peruntukan kerusi di Johor”, dengan DAP bertanding di tujuh kerusi parlimen dan 15 kerusi negeri, termasuk Johor Jaya, kata Lim.

“Dengan pengumuman Anwar itu, bolehlah dikatakan bahawa syarat penyelesaian berhubung persetujuan DAP membenarkan PKR bertanding di Parlimen Segamat mendapat persetujuan kepimpinan PKR,” katanya.

Sebelum itu, Lim menamakan Timbalan Setiausaha Publisiti DAPSY, Liow Cai Tun sebagai calon kerusi DUN Johor Jaya.

DAP dan PKR juga bertelagah tentang satu lagi kerusi negeri di Johor iaitu kerusi Pengkalan Rinting.

Bagi Kit Siang keputusannya bertanding di Gelang Patah adalah adalah untuk memulakan tsunami politik dari selatan, Johor pada PRU-13 dan melengkapkan “tsunami politik” 2008 untuk ke Putrajaya.

Hadir sama termasuk Pengerusi DAP Negeri Johor, Dr Boo Cheng How, Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham dan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, Siva Kumar.-Roketkini.com