Berita

Rampas kerusi MCA: DAP tak gentar hadapi UMNO di mana sahaja

KUALA LUMPUR, 10 APRIL: DAP sama sekali tidak gentar terhadap ketamakan UMNO yang bercita-cita mahu merampas kerusi yang pernah ditandingi MCA atau MIC pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun, berkata bukan sekadar melawan UMNO, DAP juga sudah lama bersedia menentang mana-mana parti komponen Barisan Nasional (BN).

“Dengan kesedaran politik rakyat Malaysia yang semakin matang dan terbuka, sesiapa yang nak lawan kami tak ada masalah dan tetap dengan prinsip dan perjuangan yang kami pegang selama ini iaitu menentang rasuah dan salah guna kuasa,” katanya ketika ditemui di majlis perasmian Bilik Gerakan DAP Bukit Bintang, pagi ini.

Ditanya mengenai isu perkauman yang akan digunakan UMNO untuk meraih simpati dan sokongan sebahagian pengundi, Fong yang juga Bendahari DAP Kebangsaan menyifatkan perkara itu hanya akan membawa mudarat kepada BN sendiri.

“Sekarang rakyat sudah dapat lihat. Apa yang penting mereka mahu kerajaan yang boleh menjamin keamanan dan keselamatan. Kalau BN main isu perkauman, kita hanya rasa tak selamat, itu adalah taktik lapuk.

“Dalam Pakatan Rakyat (PR), kita sudah tegaskan bahawa sekiranya kita membentuk kerajaan di Putrajaya, kita akan menjamin keselamatan seluruh rakyat dan membentuk masyarakat Malaysia yang bersatu padu, menjamin kemakmuran dan membawa negara ke arah kemajuan yang sebenar dan bersih,” jelas beliau.

Tambah Fong, PRU-13 juga memberi isyarat jelas kepada rakyat bahawa kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Najib Razak sememangnya takut untuk berhadapan dengan PR.

“Kalau mereka berani sudah lama Parlimen dibubarkan. Satu lagi, mereka juga meniru sebahagian besar manifesto PR. Ini apa maknanya? Mereka memang takut dan tak ada idea lagi,” katanya.

Nada yang sama turut dikongsi Pengerusi DAP Negeri Selangor, Teresa Kok yang menyatakan tidak ada sebab DAP perlu takut jika UMNO merampas kerusi MCA untuk bertanding menentang DAP.

Beliau berkata, jika UMNO merampas kerusi MCA untuk bertanding pada PRU-13 ini, ia secara langsung membuktikan MCA semakin tidak boleh diterima rakyat Malaysia.

“Secara perlahan-lahan MCA akan menjadi sebuah parti yang tidak signifikan dalam BN. Walaupun Najib mengeluarkan slogan 1Malaysia, tetapi apa yang mereka mainkan ialah isu perkauman terutamanya kepada masyarakat Melayu.

“Semakin mereka mainkan isu perkauman, ia akan membangkitkan kemarahan pengundi pelbagai kaum. Adakah mereka tidak tahu bahawa kebanyakan kawasan (pilihan raya) adalah kawasan campuran? Saya tidak rasa adakah UMNO akan menang kalau mereka bertanding di kawasan sebegini,” kata Teresa yang juga Ahli Parlimen Seputeh. – Roketkini.com