Berita

DAP desak tubuh IPCMC kerana EAIC membazir

GEORGE TOWN, 3 JUN: DAP desak supaya Suruhanjaya Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) ditubuhkan seperti yang dicadang Suruhanjaya Siasatan Diraja Polis, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah pada 2005 sebagai satu cara untuk mengembalikan keyakinan umum terhadap pasukan polis.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, ini sangat diperlukan memandangkan begitu banyaknya berlaku kes tahanan mati dalam tahanan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk dua yang terbaru membabitkan N. Dharmendran, 32, di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur, 21 Mei lalu dan R. Jamesh Ramesh, 40, di Ibu Pejabat Polis Pulau Pinang, pada 26 Mei.

Katanya, IPCMC sangat diperlukan, terutamanya kerana Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) ternyata bukan saja satu alternatif yang buruk, malah membazirkan dana awam apabila RM14 juta dibelanjakan hanya untuk mengeluarkan dua amaran dan satu tindakan disiplin.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang kesal dengan kenyataan terbaru Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low yang mendakwa tidak ada keperluan untuk menubuhkan IPCMC kerana sudah ada EAIC, pemantau bebas untuk agensi penguatkuasa menyiasat aduan salah laku polis.

“Paul Low telah memungkiri janjinya menyokong cadangan menubuhkan IPCMC yang lebih tinggi martabatnya berbanding EAIC yang terbukti membazirkan dana awam apabila berbelanja RM14 juta untuk mengeluarkan dua amaran dan satu tindakan disiplin.

“Kenyataan itu sangat hipokrit kerana Low sendiri pernah mengkritik kegagalan kerajaan untuk melaksanakan IPCMC ketika menjadi Presiden Transparency International Malaysia mendakwa tindakan kerajaan mencairkan IPCMC yang sedang dalam cadangan adalah indikator jelas kerajaan tidak mampu mengawal pihak yang berkuasa,” katanya dalam kenyataan media di Komtar, di sini, semalam.

Guan Eng berkata, ini bermakna Paul Low begitu cepat menyesuaikan diri dengan budaya penipuan Barisan Nasional (BN) apabila memungkiri janjinya untuk menyokong cadangan penubuhan IPCMC yang lebih tinggi martabatnya berbanding EAIC.

Menurutnya, Paul Low juga pernah menyebut bahawa rakyat mesti yakin dengan pasukan polis yang bersih daripada sebarang pengaruh luar dan siasatan dilakukan secara adil terhadap semua laporan polis tetapi malangnya kini sudah berubah nadanya dan nampak bersetuju dengan EAIC yang terbukti gagal.

“Baru-baru ini bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad memperikai kebolehan EAIC yang menerima peruntukan RM14 juta untuk dua tahun, tetapi hanya mengeluarkan dua amaran dan mengambil satu tindakan disiplin antara 2009 dan 2012.

“Menurut Tun Hamid, dalam tempoh itu 347 aduan diterima, 60 daripadanya diarah dilakukan siasatan penuh dan tetapi hanya tiga yang benar-benar disiasat iaitu satu kes dirujuk kepada badan disiplin Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dua lagi ditutup kerana tuduhan berganda,” katanya.-Roketkini.com