Berita

#Black505: DAP bersama Pemuda Pakatan Rakyat seru rakyat tolak penipuan pilihan raya

KUALA LUMPUR, 18 JUN: Ketua Pemuda DAP (DAPSY) Kebangsaan, Teo Kok Seong menyeru seluruh rakyat Malaysia memberikan solidariti bagi perhimpunan aman Black 505 yang akan berlangsung di Padang Merbok, Kuala Lumpur pada 22 Jun ini sebagai tanda protes terhadap sistem pilihan raya Malaysia yang masih tempang.

“Kita harus memberikan satu mesej yang jelas kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) bahawa rakyat telah matang dan mahukan sebuah pilihan raya yang bersih dan adil,” katanya ketika dihubungi Roketkini.com semalam.

Beliau berkata, jika kerajaan BN benar-benar mendahulukan rakyat sebagaimana slogan yang sering dilaungkan, perhimpunan di Padang Merbok, Sabtu ini mesti dihormati.

“Sebagai rakyat Malaysia, kita mempunyai hak untuk berhimpun dan bersuara secara aman sepertimana yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.

“Bagi pihak Pemuda DAP Kebangsaan, saya berharap pihak berkuasa memberi kerjasama baik kepada perhimpunan ini dan menghormati amalan demokrasi yang dipegang, kita mahu segalanya berjalan dengan aman tanpa sebarang provokasi ,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Rasah.

Semalam, Pengarah Biro Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong ketika dihubungi media berkata DAP menyokong penuh perhimpunan Black 505 ini dan akan turut sama bersolidariti sebagaimana yang telah dinyatakan pucuk pimpinan parti.

Ia antara lain mendesak kerajaan mereformasi sistem pilihan raya negara ini dan membantah sebarang manipulasi serta penipuan.

Sehingga kini, perhimpunan Black 505 yang dianjurkan di seluruh negara mendapat sokongan penuh kesemua parti dalam gabungan Pakatan Rakyat (PR).

Pada 15 Jun lalu, Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi menegaskan pihaknya akan turut menyertai himpunan ini sebagai tanda sokongan menentang segala penyelewengan dalam pilihan raya umum lalu.

“Penentangan ini tidak ada had tempoh masa dan kita akan tetap bertindak,” ujarnya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PAS Pusat.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin dalam satu laporan media menyatakan bahawa pihaknya kini dalam fasa terakhir mobilisasi menjelang himpunan Black 505 di Kuala Lumpur Sabtu ini.

“AMK akan bekerjasama dengan beberapa NGO lain dan Unit Amal PAS untuk memastikan kelancaran perhimpunan itu nanti. Berdasarkan pengalaman lepas, kita cukup bersedia memikul tanggungjawab bagi memastikan keselamatan peserta,” katanya. – Roketkini.com