Berita

Usah sambil lewa tangani jerebu: Chin Tong

KUALA LUMPUR, 21 JUN: DAP kesal sikap sambil lewa Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G Palanivel dalam menangani masalah jerebu kerana fenomena itu semakin kritikal di beberapa daerah dan negeri di seluruh negara.

Sehubungan itu, Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan, Liew Chin Tong menggesa menteri berkenaan menunjukkan komitmen yang serius dalam menguruskan masalah itu demi kepentingan penduduk yang terjejas.

“Mengapa hanya ada empat peralatan mengukur tahap pencemaran udara di Johor.

“Bila sekolah sesi petang di Muar terpaksa ditutup akibat bacaan Indeks Pencemaran Udara (API) mencecah tahap bahaya dengan bacaan 383, penduduk bersebelahan seperti di Kluang juga patut tahu bacaan di kawasan mereka,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Malangnya, Ahli Parlimen Kluang itu mendedahkan bahawa Jabatan Meteorologi tidak mempunyai peralatan pengesan yang mencukupi dan perkara itu tidak sepatutnya berlaku,” kata Chin Tong.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) menetapkan bahawa tahap API yang mempunyai bacaan 51 hingga 100 sebagai terkawal, 101 hingga 200 sebagai tidak sihat manakala bacaan 201 hingga 300 adalah sangat tidak sihat. -Roketkini.com