Berita

SPR hipokrit sebenar -Ong Kian Ming

SERDANG, 23 JUN: DAP menyifatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai ‘hipokrit sebenar’ kerana mendakwa pilihan raya umum lalu bersih dan adil sekalipun bukti menunjukkan sebaliknya.

Pengarah Strategi Pilihanraya DAP Kebangsaan, Ong Kian Ming dalam kenyataannya hari ini berkata, tindakan itu jelas membuktikan sikap hipokrit SPR apabila enggan mengakui penggunaan dakwat yang tidak kekal, perpindahan pengundi berlaku dengan sewenang-wenangnya, persempadanan menyebelahi BN dan tidak menguatkuasa peraturan pilihan raya.

Menurut Ahli Parlimen Serdang itu juga, SPR sepatutnya menerima saranan rakyat supaya meletakkan jawatan akibat kegagalan mereka memastikan perjalanan PRU dalam keadaan bersih dan adil.

“Satu suruhanjaya yang gagal memberikan keyakinan kepada orang ramai seperti terkandung dalam Artikel 114 (2) Perlembagaan Persekutuan perlu meletakkan jawatan.

“Bukannya bertindak membuat penafian, lebih teruk lagi mereka menuduh orang lain yang ingin mewujudkan sistem lebih telus, adil dan bersih sebagai hipokrit. Inilah dia ‘hipokrit sebenar’,” katanya.

Wan Ahmad semalam melabel pimpinan oposisi hipokrit kerana akan mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat di Parlimen meskipun mempertikai keputusan pilihan raya umum lalu.

Berdasarkan fakta, katanya, pelbagai tindakan yang diambil oleh Pakatan Rakyat dengan menganjurkan perhimpunan bantahan, memfailkan petisyen dan sebagainya merupakan tindakan konsisten untuk mewujudkan ketelusan, adil dan sistem pilihan raya yang bersih.

Katanya lagi, siri himpunan juga telah mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan pentadbirannya supaya menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Parlimen mengenai Reformasi Pilihan Raya dan juga mengheret SPR supaya membuat perkiraan bagi rakyat yang tinggal di luar negara untuk mengundi.

“Biar saya mengingatkan Wan Ahmad bahawa hanya selepas 3 perhimpunan Bersih barulah SPR akhirnya bersetuju menggunakan dakwat kekal walaupun membatalkannya pada saat akhir PRU 2008.” – Roketkini.com