Berita

Krisis Jerebu: Menteri BN lebih utamakan panda berbanding rakyat – Guan Eng

KUALA LUMPUR, 24 JUN: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyelar Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G. Palanivel kerana tidak serius dalam menangani isu jerebu yang membawa kemudaratan pada rakyat, tetapi lebih mengutamakan untuk membawa masuk 2 ekor panda ke Malaysia.

Menurut Ketua Menteri Pulau Pinang itu lagi, Palanivel selaku menteri bertanggungjawab sewajarnya memberi keutamaan kepada masalah pencemaran jerebu yang semakin berlarutan.

“Palanivel lebih pentingkan panda-panda yang akan datang dari negara China berbanding jerebu yang akan menjejaskan kesihatan seluruh rakyat.

“Padahal lebih penting adalah manusia, iaitu rakyat bukan panda. Ini sangat tidak masuk akal,” katanya dalam sidang media bersama Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu selepas majlis pembukaan Konvensyen Kepimpinan Pakatan Rakyat di De Palma Hotel, hari ini.

Guan Eng mengulas tindakan Palanivel semalam menghadiri majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) mengenai perlindungan dua 2 ekor panda yang akan dibawa ke Zoo Negara, Disember ini

Katanya lagi, Palanivel seharusnya perlu segera mencari penyelesaian untuk menjaga keselamatan rakyat.

“Kita mengharapkan tindakan lebih cepat, dan kita di pihak Pakatan Rakyat sedia untuk memberi kerjasama kerana apa yang penting sekarang adalah kesihatan dan keselamatan rakyat.

“Sepatutnya kerajaan mengambil inisiatif degan membekalkan topeng muka percuma pada rakyat, itu pun tak boleh buat?” tegasnya.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula menegaskan Pakatan Rakyat akan membawa isu jerebu ke sidang Parlimen yang akan bermula esok dan turut bersedia bekerjasama dengan BN, bagi memastikan masalah berkenaan tidak akan berulang.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, Jawatankuasa Kabinet perlu berbincang dalam kadar segera bagi mengatasi masalah jerebu, dan bukannya menunding jari mencari kesalahan mana-mana pihak.
“Keadaan semakin gawat, apa sahaja langkah yang perlu dilaksanakan, bukan setakat menuding siapa salah.
“Malaysia dan Indonesia harus bersidang dan mencari jalan penyelesaian secepat mungkin,” ujarnya. – Roketkini.com