Rencana

Pasca Blackut505: Najib tidak akan lebih kuat dari sekarang Oleh Hafiz Zainuddin

KUALA LUMPUR ini tidak akan senyap dengan laungan warga yang ditindas kelompok elit pemerintah BN.

Bukan di kota ini sahaja, malah ini simbolik mewakili seluruh warga di bandar dan negeri yang turut merasa tertindas, hatta bersebabkan ketua kampung yang tidak mahu menyain surat sokongan bantuan subsidi diesel nelayan kecil.

Sejak era reformasi, anti ISA, anti kenaikan harga bahan api, anti radioaktif, anti penipuan pilihan raya dan sebagainya, kempen, himpunan, perarakan, occupy; semua ini digerakkan atas nama kesedaran warga melawan arus memusnah ego dan angkuh penguasa.

Perlawanan ini bukan hanya melibatkan orang parti politik. Hal yang serupa juga telah lama diperjuangkan secara kolektif melibatkan para aktivis non partisan yang sering dicop media kawalan UMNO-BN sebagai gerakan revolusioner dan subversif yang bakal menjerumuskan Malaysia ke arah anarkisme.

Pun begitu, dongeng huru-hara, anarkisme, revolusi; semua itu telah lama menjadi sebuah jenaka yang diulang-ulang. Kebodohan elit politik UMNO-BN yang takkan habis.

BN makin angkuh, warga makin bijak

Sabtu lalu, sikap besar kepala menteri-menteri BN dan bekas Perdana Menteri tertua tersadung dalam fantasi mereka. Mana ada huru-hara?

Panas berjerebu tidak menjadi halangan bagi puluhan ribu warga prihatin berarak dan berhimpun menuntut pembersihan total dalam struktur hiraki Suruhan Jaya Pilihanraya (SPR) berikutan laporan pelbagai penipuan yang berlaku.

Padang Merbok yang paginya lengang mula dibanjuri lautan warga pelbagai peringkat umur, agama dan bangsa usai Zohor.

Ini termasuklah penyertaan sekumpulan Sekitar 100 warga orang asal Tapah akibat dihalang pihak tertentu yang berunifom dari membuang undi. Satu lagi sejarah telah tercatat.

Nampaknya, semakin lama UMNO-BN mengekalkan corak pemerintahan klasik acuan chauvinisme Melayu pasca Mahathir; selagi kerajaan BN tidak sedar peri penting keadilan dan integriti, selagi mereka lupa bahawa mereka adalah kerajaan minoriti, BN akan terus capik, tempang akibat kerja buat para politikus mereka sendiri.

Dan buat warga seluruhnya, ide pembebasan dari pembodohan dan keangkuhan pemerintah ini makin pula berkembang.

Sorak-sorai tuntutan warga demi Malaysia yang adil, berdaulat dan bermaruah makin kuat berlaung. Adakah ia mampu tertanggung oleh pemerintah BN biar pun Najib berkuasa kembali?

Jangan menolak kemungkinan, mungkin juga Najib akan tetap ‘ditikam’ Muhyiddin kalau pun tidak si Mahathir itu. Barang diingat, biar pun jerebu membuatkan biji mata kabur pedih berair; anjing masih kenal pada  tuannya, kucing tetap menghambat si tikus. – Roketkini.com