Berita

DAP tetap tolak penahanan tanpa bicara

KUALA LUMPUR, 5 JULAI: DAP mahu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terlebih dahulu mengemukakan draf mengenai undang-undang baru yang dicadangkan semalam bagi menggantikan Akta Ordinan Darurat dan Akta Kediaman Terhad 1933.

Ahli Parlimen DAP Puchong, Gobind Singh Deo berkata, draf undang-undang baru itu perlu dikemukan bagi menyakinkan rakyat bahawa didalamnya tidak ada peruntukan bagi penahanan tanpa bicara.

“Kami terbuka kepada cadangan perbaharuan dan idea untuk memperbaharui sistem keadilan jenayah.

“Tapi kami dalam DAP awal-awal lagi tidak akan menyokong serta mengambil bahagian dalam sebarang perbincangan mengenai undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa bicara.

Gobind yang juga Ketua Biro Undang-Undang DAP menegaskan bahawa tidak ada keperluan untuk satu undang-undang baru kerana undang-undang sedia sudah memadai.

“Apa yang diperlukan sebenarnya adalah satu kajian lengkap mengenai bagaimana penambahbaikan boleh dibuat di semua peringkat termasuk penguatkuasaan undang-undang dalam usaha mengatasi masalah jenayah dalam negara,” ujarnya.

Semalam, Ahmad Zahid dalam menyatakan draf pertama rang undang-undang baru bagi menggantikan Akta Ordinan Darurat kini berada di Jabatan Peguam Negara.

Beliau turut mengalu-alukan idea dan cadangan baru daripada semua orang, termasuk pemimpin oposisi dan pertubuhan bukan kerajaan untuk memastikan undang-undang baru itu berkesan. -Roketkini.com