Berita

Rekod saman AES terhadap kereta mewah dihapus?

KUALA LUMPUR, 5 JULAI: Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching mempertikai ketelusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berhubung tindakan mereka menghapuskan rekod saman terhadap dua kereta yang dirakam menggunakan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

Menurut beliau, berdasarkan laporan akhbar berbahasa Cina, November lalu menunjukkan dua kereta mewah jenis Maserati GranTurismo dan Ferrari dirakam kamera melalui AES memandu dengan kelajuan 268 kilometer sejam (ksj) dan 243ksj, sebulan selepas pelaksanaan sistem kesalahan trafik itu.

Merujuk kepada kenyataan Penolong Pengarah Penguatkuasaan JPJ, Ahmad Nasir Abdul Gani, tidak ada sebarang kesilapan berhubung pengesanan dua kereta mewah itu.

Namun, dalam soalan bertulis yang dikemukakan Nie Ching pada persidangan Parlimen, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyatakan dalam jawapannya bahawa tidak ada kes berkenaan dalam rekod AES.

“Jadi, soalan pertama saya ialah adakah JPJ mampu menyimpan rekod dengan betul mengenai AES? Penolong Pengarah JPJ sendiri mengakui kewujudan kes itu tapi Menteri Pengangkutan pula mendakwa tidak ada rekod mengenainya. Adakah rekod itu telah dipadamkan untuk beberapa sebab yang tidak diketahui?

“Atau mungkin, kisah Maserati dan Ferrari ini sengaja direka untuk membenarkan pelaksanaan AES?

“Pelaksanaan AES tidak pernah mendapat sambutan orang awam. Boleh jadi ianya sengaja direka untuk mengukuhkan pelaksaannya bahawa ia terbukti berkesan?,” katanya yang juga Timbalan Setiausaha Publisiti DAP dalam kenyataan, semalam.

Bagaimanapun, jawapan bertulis Menteri Pengangkutan itu mengesahkan kamera AES telah merakam sebuah kereta jenis GTR Nissan dipandu dengan kelajuan 238ksj dan saman sudah dikeluarkan mengikut Seksyen 79 (2) Akta Pengangkutan Jalan.

Beliau turut membangkitkan mengapa Seksyen 43 akta yang sama dalam menghukum pemandu cuai dan tidak bertimbang rasa dengan jumlah lebih tinggi daripada hukuman denda serta penjara tidak digunakan terhadap pesalah.

Sebaliknya, katanya,  pihak berkuasa memilih untuk menggunakan Seksyen 79 dengan denda maksimum RM500 berkaitan kegagalan mematuhi arahan lalu lintas.

“Bagi mereka yang mampu memiliki kereta mewah seperti GTR Nissan, Maserati atau Ferrari denda kompaun sebanyak RM500 tidak akan menjejas dan menghalang mereka daripada terus memandu di jalan raya dengan kelajuan yang berbahaya.

“Itu sebabnya saya mencadangkan supaya pemandu seperti itu didakwa mengikut Seksyen 43 Akta berkenaan.

“Saya juga ingin bertanya, apa niat sebenar yang tersembunyi dalam pelaksanaan AES ini? Apakah ianya benar-benar bertujuan mengurangkan kemalangan jalan raya atau hanya mahu memerah poket rakyat untuk memperkayakan kroni politik dan kerajaan semata?,” tegasnya.

Seksyen 43 memperuntukkan denda antara RM4,000 dan RM10,000 dan hukuman penjara sehingga setahun. Pesalah juga boleh hilang kelayakan memandu. -Roketkini.com