Berita

Speaker Selangor mohon Shamsuddin terima tawaran Pengerusi PAC

SHAH ALAM, 5 JULAI: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Hannah Yeoh memohon Ketua Oposisi Negeri, Datuk Shamsuddin Lias mempertimbangkan tawaran mengetuai Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) negeri itu.

Menurut Hannah Yeoh, kerajaan negeri Pakatan Rakyat tidak mengenakan sebarang syarat berhubung tawaran jawatan itu kepada BN.

Katanya, beliau hanya mencadangkan agar jawatan sama diperuntukkan kepada wakil pembangkang di Parlimen dan ia bukan satu syarat.

“Saya tidak pernah meletakkan apa-apa syarat kepada beliau, saya cuma kemukakan cadangan dan berharap perkara yang sama dapat dilakukan di Parlimen.

“Pada pandangan saya, jawatankuasa kira-kira ini bagus kerana ia akan memberi semakan dan imbangan kepada kerajaan negeri.

“Ini bukan kali pertama jawatan Pengerusi PAC ditawarkan kepada wakil rakyat BN. Kami harap beliau akan mempertimbangkan sama ada mahu atau tidak mengetuai PAC,” katanya yang juga ADUN DAP Subang Jaya pada sidang media di Lobi Dewan DUN Selangor, hari ini.

Isnin lalu, Shamsuddin menolak tawaran itu kerana mendakwa ianya satu langkah bermotifkan politik.

Bagaimanapun, Hannah Yeoh menegaskan, beliau tidak dapat memenuhi permintaan Shamsuddin untuk meletakkan wakil BN lebih ramai menganggotai PAC.

“Tawaran masih terbuka, jawatan Pengerusi PAC tetap akan diberi kepada BN, namun untuk memenuhi permintaan Shamsuddin supaya lebih ramai wakil BN dilantik tidak dapat kami penuhi berdasarkan kuota ahli dewan.

“Beliau harus faham bahawa PR mempunyai tiga perempat wakil di DUN Selangor, jadi kami perlu berlaku adil,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan akan mengumumkan senarai anggota Jawatankuasa PAC minggu depan untuk mendapat kelulusan Dewan.

Timbalan Speaker, Nik Nazmi Nik Ahmad menambah, tawaran Pengerusi PAC itu tidak sepatutnya dipolitikkan walaupun berbeza fahaman politik dan pandangan.

“Perbezaan politik seharusnya tidak menjadi halangan kepada ahli BN untuk menerima tawaran itu,” ujarnya. -Roketkini.com