Berita

PAS yakin tawan Kuala Besut

BESUT, 12 JULAI: Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan Dewan undangan Negeri (DUN) N01 Kuala Besut, 24 Julai ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PAS, Azlan@ Endot Yusof dan calon Barisan Nasional (BN), Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman.

Proses penamaan calon yang berlangsung di Kompleks Rakan Muda Kuala Besut, pagi tadi berjalan lancar di mana calon PAS, Azlan mengemukakan borang pencalonan kira-kira jam 9.00 pagi diikuti borang pencalonan calon BN tujuh minit kemudian.

Pengumuman kedua-dua calon yang bertanding itu diumumkan Pegawai Pengurus PRK Kuala Besut, A Rahim Jusoh.

Dalam ucapan ringkas, Azlan menegaskan bahawa beliau akan menjadi wakil rakyat kepada semua melangkaui fahaman dan ideologi politik.

“Kita tidak mahu menjadi ‘wakil kerajaan’, kita dipilih oleh rakyat dan menjadi suara rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda Sosialis DAP, Teo Kok Seong berkata, DAP memberi sokongan penuh kepada calon PAS yang bertanding.

“PAS pernah terbukti menjadi kerajaan yang beramanah di Terengganu.

“Kami menyeru agar seluruh pengundi Kuala Besut memberi sokongan padu kepada saudara Azlan yang mampu memperjuang nasib rakyat,” kata beliau ketika dihubungi yang turut sama membantu kempen PAS di Kuala Besut.

Azlan adalah seorang ahli perniagaan yang dikenali dan berpengaruh di sekitar Kuala Besut dan dijangka tidak menghadapi masalah menambah kerusi yang dimenangi Pakatan Rakyat (PR) pada Pilihan Raya Umum ke-13, 5 Mei lalu.

Ramai pemerhati berpendapat, biarpun calon BN mempunyai kelebihan, Azlan juga berpeluang cerah mencipta sejarah di DUN Kuala Besut memandangkan keperibadiannya yang tinggi dan dihormati ramai.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon PRK Kuala Besut hari ini, 12 Julai dan hari mengundi pada 24 Julai ini.

PRK Kuala Besut diadakan berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang juga Ahli Exco Kerajaan Negeri Terengganu, Dr A Rahman Mokhtar, selepas 50 hari memenangi kali kedua sebagai ADUN kawasan itu.-Roketkini.com