Berita

Teater Selak: Serak dramatik, beri impak emosi, pencerahan

PETALING JAYA, 12 JULAI: Emosi, dendam, pedih dan sedih memenuhi segenap ruang dalam pementasan teater Selak: Serak bermula malam tadi yang memuatkan mesej kesedaran terhadap salah guna kuasa pihak bertanggungjawab rentetan pelbagai kes kematian tidak wajar ketika dalam tahanan.

Teater berkonsepkan Modern Surreal and Experimental ini tambah dramatik dan emosi dengan dentuman ‘objek’ berat yang berkecai di lantai pentas diikuti ratapan penuh emosi pelakon Lorna Hoong yang memakai gaun putih bersama watak satu ‘objek kaku’ lakonan Khairil Ridzuan K’N.

Selak: Serak yang diproduksi Rumah Anak Teater (RAT) seliaan aktivis yang juga penulis Faisal Mustaffa dengan Pengarah Teater, Ayam Fared ini menggamit perhatian pelbagai lapisan masyarakat yang memberi sokongan dan prihatin terhadap kemelut salah guna kuasa yang sering berlaku kepada rakyat Malaysia.

Faisal dalam sesi dialog selepas pementasan, berkata sejak ditubuhkan pada 2008, RAT sering mengetengahkan isu semasa yang berlaku terutamanya melihatkan hak asasi manusia dan politik.

“Kami sangat berharap agar teater yang kita anjurkan ini diwar-warkan lagi dalam laman sosial agar mesej dapat disampaikan kepada masyarakat mengenai apa yang berlaku adalah realiti yang kita sama-sama hadapi,” ujar beliau.

Pengarah Teater, Ayam Fared pula berkata, isu sensitif perlu sering disentuh dan diberi perhatian ramai.

“Dia menjadi sensitif sebab jarang disentuh, jarang diwacanakan, jarang dipertontonkan, tetapi pada masa sama perkara itu (kematian dalam tahanan) bukan jarang berlaku, bukan kes berlaku dua tahun sekali, tapi dalam setahun berkali-kali ia berlaku,” katanya ketika ditanya penonton mengapa isu sensitif seperti itu menjadi fokus.

Justeru itu, beliau menambah adalah menjadi tanggungjawab setiap warga dan manusia memberi respon terhadap kezaliman yang berlaku.

Teater yang pertama kali dipentaskan semalam turut menarik perhatian beberapa Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan aktivis hak asasi manusia.

Mengakui teater itu memberi impak kepada perasaannya, ADUN DAP Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah menyeru seluruh ahli keluarga mangsa yang mati dalam tahanan pihak berkuasa untuk menyokong pelbagai usaha yang dilakukan.

“Kami juga menuntut kerajaan pusat khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak segera menubuhkan Suruhanjaya Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) supaya dapat menyelia dengan lebih baik semua tahanan,” katanya.

Mengambil peluang berkongsi perasaannya, ADUN Subang Jaya, Hannah Yeoh pula  menyifatkan teater Selak: Serak begitu menyayat hati beliau.

“Ini adalah satu kisah yang perlu dijadikan tauladan dan rakyat Malaysia perlu sedar bahawa kezaliman itu tidak mengenal bangsa dan agama, ia perlu dihentikan dengan kesungguhan politik,” ujar beliau yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Bagi ADUN DAP Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran, kejadian mangsa mati ketika dalam tahanan pihak berkuasa sepatutnya tidak berlaku dan mempertikaikan insiden malang itu masih berterusan.

“Saya sangat berharap, selepas ini masa depan kita sebagai rakyat Malaysia akan lebih cerah. Kalau IPCMC tidak ditubuhkan ketika kerajaan Barisan Nasional (BN), kita kena terus lawan dan terus melawan sehingga kerajaan Pakatan Rakyat (PR) berjaya dibentuk,” jelas beliau.

ADUN DAP Kinrara, Ng Sze Han pula mempersoalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) dipatuhi pihak berkuasa ketika melakukan soal siasat.

“Kami juga perlu tahu adakah SOP itu mencukupi dalam menjamin keselamatan suspek yang disoal siasat dan kami juga bersetuju dengan cadangan sebelum ini agar kamera CCTV diletakkan di lokap atau bilik soal siasat supaya mengetahui perkara sebenar yang berlaku,” ujar Ng.

Dengan memuji usaha RAT mementaskan teater ini, ADUN DAP Kuala Kubu Baru, Lee Kee Hiong berkata, mesej yang disampaikan sangat jelas.

“Saya percaya teater itu mampu menarik lebih ramai penonton kerana mesej yang disampaikan mereka bagi saya bukan setakat mendidik masyarakat tetapi hidup dan memberi kesan,” katanya.

Senada dengan desakan penubuhan IPCMC, ADUN DAP Kampung Tunku, Lau Weng San menyeru seluruh warga yang prihatin dan ingin menonton pementasan teater Selak: Serak itu.

“Kami mahu supaya kezaliman yang berlaku sehingga menyebabkan kematian kepada Ahmad Sharbani, A Kugan, Teoh Beng Hock dan ramai lagi dapat dihentikan. Kesedaran itu sangat penting kepada masyarakat,” tegas beliau yang juga Setiausaha Organisasi DAP Selangor.

Aktivis hak asasi manusia Tenaganita, Irene Fernandez mahu agar isu membabitkan kematian dalam tahanan tidak dianggap isu picisan membabitkan kaum tertentu.

“Ini bukan soal kaum, kemanusiaan. Isu ini berlaku ke atas semua. Kita tidak mahu ada orang lagi yang jatuh, mati dalam tahanan dan rakyat Malaysia perlu menetapkan pendirian.

Beliau juga menyentuh mengenai masa depan anak mendiang Teoh Beng Hock yang kini sudah mencecah usia empat tahun.

“Apa jaminan masa depan anak itu dan apa yang menyentuh hati saya, bagaimana kita mahu pastikan anak Beng Hock mempunyai masa depan yang indah dan baik seperti anak lain. Jawapannya ada pada anda,” ujar Irene dalam nada sayu.

Tidak dilupakan, tamu istimewa Teoh Lee Lan iaitu adik kepada mendiang Teoh beng Hock.

“Kalau anda mahu saya gambarkan perasaan saya, hanya satu, sakit. Saya sangat hairan mengapa orang yang bertanggungjawab melakukan kesalahan itu tidak diambil tindakan sewajarnya, saya dan keluarga mahu keadilan dan kebenaran,” ujar beliau.

Teater Selak: Serak yang bermula malam tadi akan dipentaskan sehingga 14 Julai ini di PJ Life Art, Jaya One Petaling Jaya. Untuk maklumat lanjut, sila layari http://rumahanakteater.blogspot.com –Roketkini.com