Berita

DAP kutuk keras kekejaman tentera Mesir

miliraty egyptKUALA LUMPUR, 16 OGOS: DAP mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pembunuhan beramai-ramai oleh rejim tentera Mesir pimpinan Jeneral Abdul Fatah As-Sisi ke atas ratusan penyokong Presiden Morsi dalam tempoh 48 jam yang lalu.

Ketua Whip DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, kekerasan melampau yang diambil dilakukan rejim tentera itu ke atas rakyatnya sendiri merupakan satu tindakan kekejaman yang tidak berperikemanusian.

Katanya, masyarakat antarabangsa perlu bersolidariti bersama rakyat Mesir dan menuntut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengambil apa sahaja tindakan yang sepatutnya untuk mengembalikan keamanan di Mesir.

Justeru itu, katanya, DAP menyeru Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak segera memanggil Sidang Khas Parlimen untuk mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan beramai-ramai di Mesir dan mengambil pendirian yang tegas untuk menuntut Majlis Keselamatan PBB bertindak mengembalikan keamanan di Mesir

“Najib perlu segera memanggil satu sidang khas itu pada awal minggu depan supaya Parlimen Malaysia mengambil satu ketetapan mewakili suara seluruh rakyat Malaysia untuk mengutuk kekejaman tidak berperikemanusian yang sedang berlaku di Mesir,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Anthony Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, Parlimen Malaysia juga seharusnya mengambil satu ketetapan supaya Kerajaan Malaysia menuntut Majlis Keselamatan PBB segera bersidang untuk mengambil tindakan tegas ke atas rejim tentera Mesir untuk memberhentikan kekejaman mereka.

“Parlimen Malaysia pernah mengadakan sidang khas pada 12 Januari 2009 untuk mengutuk kekejaman Israel terhadap penduduk Palestin di Gaza. Pada sidang khas itu, Pakatan Rakyat memberikan sokongan penuh kepada usul yang dibawa oleh Kerajaan untuk membuktikan pendirian tegas rakyat Malaysia yang cintakan keamanan.

“Saya yakin Pakatan Rakyat akan sekali lagi menyokong penuh sekiranya Najib memanggil sidang khas Parlimen dan mengemukakan usul untuk mengutuk rejim tentera Mesir.

“Saya berharap Perdana Menteri mengambil peluang ini untuk membuktikan kepada dunia bahawa rakyat Malaysia akan bersatu-padu dalam usaha menuntut keamanan dunia dan isu kemanusian walaupun kita berbeza fahaman politik,” katanya.

Selain itu, katanya, DAP juga menyeru rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama untuk turut serta dalam Himpunan Munajat Perdana 100k di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada petang Sabtu, 17 Ogos ini yang dianjurkan oleh PAS untuk menunjukkan solidariti bahawa isu keamanan sejagat dan hak asasi manusia menjangkaui batasan kaum, agama dan fahaman politik dan perlu dipertahankan oleh seluruh umat manusia.

“Saya dan pemimpin DAP yang lain akan turut menyertai Himpunan berkenaan,” katanya.-Roketkini.com