Berita

DAP sangkal kenyataan KJ, akur arahan ROS kerana tiada pilihan

anthony loke 1`KUALA LUMPUR, 16 OGOS: DAP terkilan dengan kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang menganggap keputusan parti itu yang bersetuju mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) sebagai pengakuan bersalah pimpinan DAP.

Ketua Whip DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, kenyataan itu jelas membuktikan Khairy Jamaluddin sama dengan pimpinan UMNO lain yang mengamalkan politik cara lama untuk kepentingan peribadi.

Menurutnya, dakwaan tidak berasas itu tidak sepatutnya keluar daripada mulut seorang menteri yang selalu menonjolkan dirinya sebagai seorang pemimpin generasi muda yang berkaliber dan bijak.

“Saya terkilan dengan dakwaan tidak berasas seperti itu hanya kerana ingin memenangi hati ahli UMNO menjelang pemilihan parti tidak lama lagi. Ternyata Khairy Jamaluddin sama seperti pimpinan UMNO lain yang masih bermain politik tradisi parti mereka iaitu menggunakan fitnah, penipuan, salah guna kuasa kerajaan untuk mencapai tujuan politik sempit peribadi tanpa sebarang pertimbangan nilai kebenaran dan keadilan.

“Dakwaan itu langsung tidak berasas kerana pucuk pimpinan DAP mengambil keputusan bersetuju mengadakan pemilihan semula seperti yang diarahkan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) kerana tidak ada pilihan lain. Sekiranya DAP tidak akur kepada arahan itu, risiko yang perlu ditanggung ialah ROS mungkin membatal pendaftaran parti.

“Inilah perangkap politik yang dipasang UMNO kerana objektif utama mereka ialah untuk memusnah dan melenyapkan DAP daripada arena politik Malaysia. Di atas pertimbangan politik itulah, DAP mengambil keputusan akur kepada arahan ROS,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen DAP Seremban turut mengecam sikap Khairy Jamaluddin yang menuduh DAP mengambil masa terlalu lama untuk mengakui kesilapan dan kepincangan yang berlaku bagi menghangatkan isu berkenaan ketika musim Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu.

“Ini juga satu penipuan untuk mengelirukan rakyat Malaysia. Faktanya ialah kami mengakui kesilapan teknikal dalam keputusan pemilihan CEC secara sukarela pada awal Januari lalu.

“’Masa yang terlalu lama’ ini bukan disebabkan DAP tetapi kerana ROS mengambil masa lebih tujuh bulan untuk menyiasat dan kami hanya menerima surat rasmi daripada ROS mengenai arahan untuk mengadakan pemilihan semula tanpa sebarang alasan pada 31 Julai lalu,” tegasnya.

Menurutnya lagi, tindakan DAP tidak membawa kes ini ke mahkamah adalah berdasarkan campur tangan politik yang sudah pasti tidak memungkinkan perjalanan kehakiman berjalan dengan adil.

“Ada pula hujah yang mengatakan bahawa kalau DAP tidak bersalah, mengapa tidak membawa kes itu ke mahkamah? Jawapannya ialah kerana kami cukup yakin ada campur tangan politik di peringkat tertinggi dalam kes ini dan tidak mungkin mendapat satu penghakiman yang adil melalui mahkamah.

“Sekiranya kes itu berlarutan bertahun-tahun di mahkamah, maka sudah tentu perjalanan parti akan terbantut dan ini akan memberi kesan buruk kepada perjuangan politik untuk menuntut perubahan demi rakyat Malaysia,” ujarnya. -Roketkini.com