Berita

DAP Perak kesal sikap tidak bertanggungjawab Menteri Besar Perak

ngeh koo hamIPOH, 17ngeh koo ham OGOS: Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham kesal dengan tindakan Kerajaan Negeri BN Perak yang menolak sepenuhnya soalan bertulis dan lisan yang dikemukakan di Dewan Undangan Negeri baru-baru ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Sitiawan berkata, kerajaan negeri yang diterajui Menteri Besar, Dr Zambry Abdul Kadir menolak enam soalan bertulis dan tiga lisan dengan alasan jawapannya boleh didapati dalam ‘buku rujukan biasa’.

“Namun tidak ada sesiapa tampil ke hadapan memberi jawapan bersama buku rujukan itu.

“Saya mencabar Dr Zambry mengemukakan buku itu dan menjawab soalan saya. Jangan membuat jenaka kepada diri sendiri dengan alasan yang tidak masuk akal.

“Saya percaya rakyat berminat dengan jawapan kepada soalan itu kerana ia membabitkan puluhan ribu ekar tanah kerajaan bernilai berbilion ringgit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Koo Ham mengemukakan soalan bertulis dan lisan berkaitan terma, syarat, urusniaga dan hak pemilikan tanah di Perak.

Antara soalan itu merangkumi senarai nama mereka yang diluluskan tanah di Tronoh Mines di Tapah, kadar premium untuk lot perumahan bagi kampung tersusun dan kampung baru, syarat serta terma enam ekar tanah di tapak bangunan pejabat dan stor Majlis Perbandaran Manjung, Pekan Sitiawan dan tanah seluas 147.84 ekar di Mukim Lumut, Daerah Manjung yang dilulus kepada Kinta Berkat Sdn Bhd.

Beliau yang juga Timbalan Setiausaha Agung DAP Kebangsaan menempelak dakwaan Zambry bahawa kerajaan PR Pulau Pinang dan Selangor juga membuat perkara yang sama dengan tidak menjawab soalan yang dikemukakan.

“Saya telah meminta Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh, dan mereka mengesahkan bahawa semua soalan yang tidak dijawab secara lisan akan dijawab secara bertulis.

“Jadi Zambry berhutang maaf kepada rakyat kerana mengelirukan mereka dan memfitnah kerajaan Pulau Pinang dan Selangor.

“Saya juga menggesa beliau menjawab semua soalan yang diberi wakil rakyat Perak,” tegasnya. -Roketkini.com