Berita

ADUN DAP Pasir Pinji terima surat ugutan ‘ular tedung’

howard tedung 2IPOH, 3 SEPTEMBER: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh jam 11.30 pagi semalam kerana menerima sepucuk surat berbaur ugutan tidak bersampul yang diletak dalam peti surat di kediamannya.

Surat ugutan itu memuatkan gambar ular tedung dan blok huruf kertas yang dipotong dan tampal dengan perkataan ‘Pasir Pinji jangan hina Melayu Islam’.

Howard ketika dihubungi berkata, beliau percaya ugutan itu mungkin berkaitan dengan sesi perbahasannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, pada Jumaat lalu.

“Dalam perbahasan itu saya meminta EXCO memberi penjelasan berhubung pengutipan yuran bagi borang yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Negeri.

“Saya berdiri atas kapasiti sebagai seorang wakil rakyat dan tidak mahu melihat sebahagian masyarakat negeri ini dibebankan dengan bayaran yang tidak wajar,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Pemuda DAP Perak kesal dengan kejadian yang berlaku dan mahu semua pihak faham dan sedar bahawa apa yang dibangkitkan dalam DUN boleh dibahas dan tidak menjadi kesalahan jika ada orang bukan Islam membela orang Islam.

“Sebarang usul atau enakmen yang dibawa berhak untuk dibahaskan ahli dewan. Tidak salah malah dalam hal ini saya tidak pun mempersoalkan, saya hanya meminta penjelasan,” jelas Howard.

Ditanya mengenai suspek yang disyaki, katanya, beliau tidak mahu menuduh mana-mana pihak.

Menurut beliau, budaya ugutan bukan satu budaya yang baik, tetapi kalau yang melakukan itu daripada pihak UMNO, beliau tidak mahu komen apa-apa kerana budaya sebegini sering berlaku di pihak sebelah sana.

Laporan Polis di IPD Ipoh itu turut dihadiri ADUN PAS Sungai Rapat, Ustaz Radzi Zainon.-Roketkini.com