Berita

Harga minyak naik: Rakyat terpaksa pikul beban

IPOH, 3 SEPT: Tindakan kerajaan Barisan Nasional (BN) menaikkan harga minyak RON 95 dan diesel sebanyak RM0.20 sen mulai malam tadi mencerminkan mereka tidak peduli terhadap kepayahan hidup yang dihadapi rakyat terbanyak.

Seperti kebiasaan, kenaikan harga bahan api itu sekaligus memberi kesan langsung kepada ekonomi yang akan menyebabkan harga barangan keperluan harian turut terkesan.

Ahli Parlimen DAP Batu Gajah, V Sivakumar yang menjangkakan perkara itu akan berlaku jika BN terus memerintah Malaysia selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu.

“Kami telah jangkakan strategi BN itu yang akan mengurangkan subsidi petrol dan diesel selepas PRU-13.

“Pada masa sama, Pakatan Rakyat (PR) juga memberi tawaran yang cukup menarik dalam manifestonya iaitu menurunkan harga petroleum sebaik memenangi PRU-13 dan membentuk kerajaan Persekutuan,” katanya.

Sivakumar berkata, kerajaan BN secara bijak telah mengurangkan subsidi yang dibayar mereka dan memindahkan kos itu kepada rakyat.

Katanya, selepas kenaikan harga ini, rakyat terpaksa menanggung lebih kurang RM1.1 bilion setiap tahun dan ini adalah kesan langsung yang terpaksa dipikul rakyat dengan serta merta.

Beliau berkata, walaupun hanya 47 peratus pengundi yang memilih BN pada PRU-13 lalu, kenaikan harga bahan api ini terpaksa ditanggung 53 peratus pengundi yang memilih PR.

“Ini adalah hadiah yang cukup istimewa daripada BN untuk semua rakyat Malaysia sempena sambutan hari kemerdekaan ke-56 tahun ini,” katanya.-Roketkini.com