Berita

Suruhanjaya Siasatan Diraja masih relevan siasat trajedi 13 Mei: Kit Siang

lks orang lautKUALA LUMPUR, 3 SEPTEMBER: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mengecam tindakan Datuk Nazri Aziz yang mempersendakan kebenaran dan menyelewengkan sejarah apabila mendakwa filem Tanda Putera dibuat berasaskan penyelidikan yang lengkap dan menuduh rusuhan kaum 13 Mei 1969 disebabkan oleh kaum Cina.

Sebaliknya, beliau berkata, filem yang berasaskan penyelidikan dan sejarah sudah pasti tidak akan memuatkan adegan berasaskan khayalan liar seperti adegan pemuda Cina kencing di tiang bendera di depan kediaman Menteri Besar Selangor yang dikawal ketat.

Selain itu, katanya, menonjolkan tindakan itu sebagai satu daripada sebab tercetusnya rusuhan kaum 13 Mei, tanpa mengambil kira salah faham, kebencian dan ketegangan antara kaum yang boleh timbul kini akibat adegan yang direka-reka itu.

“Filem yang berasaskan penyelidikan dan sejarah juga tidak akan memaparkan pembohongan seperti yang diperhatikan oleh wartawan Free Malaysia Today K Pragalath dan diulas beliau dalam rencana “Tanda Putera falls flat”:

“Tanda Putera opens with a dramatic scene of an incident where DAP campaign workers kill an UMNO campaign helper two weeks prior to the general election then.”

(Tanda Putera dibuka dengan babak dramatik yang menggambarkan insiden pembunuhan seorang pembantu kempen politik UMNO oleh penggerak kempen DAP dua minggu sebelum pilihan raya umum ketika itu.)

Menurut Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah, ini tidak lain adalah khayalan sepenuhnya, bukan sejarah, malah ia adalah pembohongan dan dongeng yang berbahaya dan penuh khianat, kerana insiden “pembunuhan seorang pembantu kempen politik UMNO oleh penggerak kempen DAP” sedemikian tidak pernah berlaku sama sekali pada 1969.

“Nazri membuat tindakan yang merugikan negara menerusi dakwaan tidak berasas bahawa rusuhan kaum 13 Mei dicetuskan oleh kaum Cina. Ini adalah fitnah dan kenyataan tidak bertanggungjawab, sama seperti jika ada pihak yang menyalahkan kaum Melayu atas rusuhan 13 Mei itu.

“Rusuhan 13 Mei tidak disebabkan oleh kaum Cina atau Melayu, sebaliknya oleh beberapa individu tidak bertanggungjawab yang menjerumuskan negara ini ke dalam babak paling tragis dan kelam dalam sejarah negara,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kit Siang berkata, siapa dalang dalam rusuhan 13 Mei 1969? Subjek ini mengundang banyak pendapat yang saling bercanggahan.

“Kerana itu dalam ucapan pertama saya di Parlimen 42 tahun lalu, pada 23 Februari 1971, saya menyeru agar ditubuhkan sebuah suruhanjaya untuk menyiasat kejadian 13 Mei 1969 bagi menyelidik puncanya dan menilai sejauh mana buruknya hubungan antara kaum di negara ini, selain mengemukakan saranan bagi mencegah kejadian 13 Mei 1969 berulang dan memastikan jurang antara kaum tidak melebar.

“Saranan saya agar ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat kejadian 13 Mei masih relevan untuk hari ini, bukan bertujuan untuk menyalahkan atau menghukum pihak yang menjadi dalang, memandangkan peristiwa itu sudah 44 tahun, tetapi untuk mengenalpasti punca sebenar.

“Dengan cara itu kita boleh mencatatkan kebenaran yang boleh dijadikan iktibar oleh generasi sekarang dan generasi masa depan serta merawat luka lama yang paling parah bagi negara ini, selain membantu membebaskan kita daripada terus dihantui 13 Mei,” tambahnya.

Beliau berkata, langkah itu lebih wajar dan membina daripada membelanjakan wang rakyat untuk membolehkan seorang pengarah filem menggunakan “lesen kreatif” beliau untuk mereka-reka peristiwa mengenai rusuhan 13 Mei 1969 yang boleh memburukkan lagi hubungan kaum dan melebarkan jurang antara kaum di negara ini.-Roketkini.com