Berita

Muhyiddin digesa kaji semula cadangan tingkatkan kelas Bahasa Malaysia 240 minit seminggu

teo nie chingKULAI, 9 SEPTEMBER: DAP menggesa Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengkaji semula keputusan meningkatkan pelajaran Bahasa Malaysia (BM) kepada 240 minit seminggu di sekolah vernakular seluruh negara.

Ahli Parlimen DAP Kulai, Teo Nie Ching berkata walaupun hasrat kerajaan mungkin kelihatan ‘mulia’, ia menjadi pertikaian sama ada kelas tambahan sememangnya menjadi pendekatan yang betul dan penyelesaian muktamad kepada permasalahan mata pelajaran BM.

“Pada masa kini, sekolah kebangsaan memberi pembelajaran lebih kepada Bahasa Inggeris (BI) berbanding sekolah vernakular. BI diperuntukkan selama 300 minit seminggu untuk sekolah kebangsaan, manakala sekolah vernakular hanya 150 minit.

“Walaupun sekolah kebangsaan mempunyai kelas yang lebih dalam BI daripada sekolah vernakular, keputusan menunjukkan bahawa 23 peratus Bumiputera, 42 peratus Cina dan 35 peratus India memperolehi keputusan markah bersamaan dengan 1119 kredit Cambridge atau lebih tinggi berdasarkan keputusan peperiksaan SPM 2010.

“Jika jam pembelajaran merupakan faktor yang menentukan kecekapan pelajar dalam bahasa, Menteri Pendidikan mesti menjelaskan mengapa sekolah vernakular mempunyai kelas BI yang kurang tapi pelajar Cina dan India mencatat keputusan lebih baik dalam SPM bagi mata pelajaran itu,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Muhyiddin ketika melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, baru-baru ini menegaskan waktu pembelajaran BM di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil (Vernakular) akan ditambah daripada 180 minit seminggu kepada 240 minit seminggu.

Beliau yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan mendakwa langkah itu diambil bagi memperkasakan penguasaan BM di kalangan murid sekolah berkenaan berikutan penguasaannya yang lemah di sekolah itu.

Menyelar tindakan itu, Nie Ching menyatakan bahawa beliau tidak nampak apakah dengan menambah jam pembelajaran ia merupakan langkah efektif agar pelajar dapat memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan.

“Dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPM) 2013-2025 terdapat perbezaan mengikut kumpulan etnik. Pelajar Bumiputera melaksanakan penguasaan Bahasa Malaysia dengan 84 peratus mencapai kredit minimum di peringkat SPM, berbeza dengan 63 peratus daripada pelajar Cina dan 57 peratus pelajar India.

“Pelajar di Singapura dan Hong Kong cemerlang dalam PISA taksiran bukan kerana mereka mempunyai jam pembelajaran yang lebih. Kualiti guru dan kandungan sukatan pelajaran adalah faktor sebenar yang lebih penting dalam menentukan kejayaan pelajar,” tegasnya. -Roketkini.com