Berita

PR gesa Muhyiddin beri bantuan saksama kepada semua sekolah

PPPMalaysiaCoverKUALA LUMPUR, 11 SEPTEMBER: Pakatan Rakyat (PR) menggesa Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengubah jaminan yang diberikan kepada sekolah vernakular dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 supaya lebih saksama dan adil.

Pasukan Tugas Khas Pendidikan PR (PR Education Taskforce) berkata, tindakan perlu dilakukan sekiranya Kementerian Pendidikan benar-benar ikhlas membantu dan tidak mempunyai niat untuk mengalihkan mana-mana aliran sekolah yang wujud.

“Kami meminta Muhyiddin menjadikan jaminan itu sebagai tindakan kerana tidak ada peruntukan dalam Akta Pendidikan menyatakan bahawa Kementerian Pendidikan perlu mengkategorikan sekolah dalam menyediakan bantuan penuh dan modal.

“Semua sekolah yang diterima dalam arus perdana sistem pendidikan layak menerima bantuan penuh kerajaan tanpa sebarang syarat. Kerajaan harus menghentikan amalan yang tidak adil dan memberi bantuan penuh kepada semua sekolah jenis kebangsaan.

“Kedua, sekolah perlu dibina mengikut keperluan. Tanah rizab untuk sekolah harus terbuka untuk semua jenis sekolah, samada sekolah kebangsaan atau jenis kebangsaan. Kedudukan semasa di mana simpanan tanah hanya diperuntukan untuk sekolah kebangsaan perlu dikaji semula dan dimansuhkan,” katanya dalam kenyataan.

Muhyiddin baru-baru ini ketika melancarkan PPPM 2013-2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur mengatakan bahawa sekolah Cina dan Tamil akan dipertahankan kewujudannya di bawah PPPM.

Beliau mendakwa hak sekolah itu menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar dijamin mengikut Akta Pendidikan 1996 (Seksyen 28).

PR juga mengecam sikap kerajaan mengabaikan keperluan pendidikan khas untuk kanak-kanak yang memerlukan dengan tidak menyediakan peruntukan secukupnya kepada mereka.

“UNESCO menganggarkan secara purata, 10 peratus daripada penduduk di negara membangun mempunyai keperluan khas. Namun, di Malaysia, hanya satu peratus daripada penduduk yang menikmatinya. Ini menunjukkan betapa kerajaan memandang rendah keperluan pendidikan khas kanak-kanak.

“Daripada segi keluasan tanah, Malaysia adalah 500 kali ganda lebih besar daripada Singapura, tetapi terdapat 20 sekolah pendidikan khas di negara jiran itu manakala kita hanya mempunyai 28 sekolah rendah dan lima sekolah menengah di dalam sistem.

“Selain itu, pusat latihan atau bengkel perlu ditubuhkan untuk memberi latihan bagi melengkapkan mereka dengan kemahiran yang diperlukan bagi pekerjaan. Setiap kanak-kanak Malaysia layak kepada akses sama dalam pendidikan. Kanak-kanak dengan keperluan pendidikan khas juga tidak boleh diabaikan,” tegasnya.

Pada masa sama, PR turut menyeru kerajaan melalui PPPM agar mengiktiraf sekolah Cina persendirian sebagai pilihan dalam sistem pendidikan negara.

“Sekolah Cina persendirian kini terdiri daripada tiga peratus jumlah enrolmen menengah. Kerana tidak ada sekatan dalam jumlah sekolah antarabangsa dan sekolah agama di negara ini, sekatan bahawa hanya 60 sekolah persendirian Cina dibenarkan juga perlu dikaji semula,” ujarnya. -Roketkini.com