Berita

DAP kutuk syarikat diskriminasi wanita bertudung

tony pua (7)KUALA LUMPUR, 13 september: DAP mengutuk keras semua bentuk diskriminasi dan pilih kasih berdasarkan agama, kaum, bahasa, budaya atau jantina dalam pengambilan pekerja sama ada daripada pihak kerajaan atau swasta.

Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua, berkata banyak aduan diterima dan insiden terbaru diskriminasi oleh sebuah syarikat multinasional yang berpenjabat di KLCC terhadap seorang wanita Islam bertudung.

Katanya, alasan itu mengejutkan banyak pihak dan tidak boleh diterima walaupun ada segelintir yang menyokong tindakan itu atas dasar pasaran bebas dan mementingkan keuntungan.

“Alasan ini tidak boleh diterima di Malaysia kerana kita merayakan kepelbagaian demi penubuhan sebuah masyarakat adil, bertimbangrasa, saksama dan tanpa diskriminasi menjadi keutamaan.

“Jika sesuatu perniagaan mencapai keuntungan berdasarkan diskriminasi mengikut bangsa, agama dan jantina, lebih baik syarikat itu tidak beroperasi di negara ini,” ujar beliau dalam satu kenyataan.

Pua menyanggah kenyataan yang dikeluarkan seorang pakar ekonomi RAM Holding, Dr Yeah Kim Leng yang menyatakan bahawa pasaran perniagaan komersial seperti pasar raya dan pusat membeli-belah adalah pasaran kompetitif yang ditentukan oleh pelanggan dan untung rugi.

“Adakah kita akan membenarkan sesebuah syarikat mendiskriminasikan kaum wanita atas sebab keperluan mereka untuk mengambil cuti tiga bulan setiap kali bersalin.

“Adakah syarikat tidak akan memberikan keutamaan kepada pekerja beragama Islam atas sebab keperluan Muslimin dan Muslimat untuk bersembahyang beberapa kali sehari? Adakah kaum India dibenarkan untuk dipinggirkan atas sebab mereka berkulit gelap?,” soal Pua lagi.

Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara itu mengulas kenyataan Ketua Jabatan Perniagaan dan Pentadbiran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Dr Suhaimi Mohd Sharif yang menyatakan desakan kumpulan berkenaan adalah disebabkan mentaliti “mereka yang mahukan subsidi dan rasa didiskriminasi disebabkan kadar sewa yang mahal.”

“Saya ingin menekan bahawa isu diskriminasi bukannya isu mentaliti subsidi.  Permintaan peluang pekerjaan dengan majikan di KLCC bukan isu permintaan gaji lebih tinggi daripada pekerja lain.

“Mereka juga tidak minta mendapat pekerjaan itu atas sebab bumiputera. Isu diskriminasi berbangkit atas sebab permohonan mereka ditolak hanya kerana mereka bertudung,” jelasnya.

Sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke 56 dan Hari Malaysia ke-50, Pua berharap semua majikan di negara ini menghentikan segera tindakan diskriminasi samada terhadap kaum Melayu, India, Cina atau bumiputera di Sabah dan Sarawak.

“Setiap majikan dalam negara ini perlu memilih pekerja mengikut kemahiran, samada daripada segi pendidikan, pengalaman atau kepakaran.

“Kami mahu semua pihak baik kerajaan, swasta atau individu dan masyarakat memberi keutamaan kepada rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama dan jantina dalam merealisasikan impian Malaysian First, seperti yang diulas dalam Pelan Transformasi Kerajaan (GTP),” katanya.-Roketkini.com