Berita

Pemilihan semula CEC: DAP teraniaya kata Pengarah Pilihan Raya PAS

PETALING JAYA, 30 SEPT: Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr Mohd Hatta Ramli menyifatkan tindakan yang dilakukan Pendaftar Pertubuhan (ROS) terhadap DAP merupakan satu usaha membalas dendam yang tidak wajar dilakukan.

“Saya pun tidak pasti apa puncanya.

“Kita percaya DAP teraniaya hanya kerana mereka bercakap benar,” ujar beliau yang hadir sebagai tetamu Khas ke Kongres Khas Kebangsaan DAP semalam.

Beliau pada masa yang sama turut memuji ucapan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang sering mengulangi pendirian DAP terhadap Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai Agama Persekutuan, mengangkat sistem demokrasi berparlimen dan kedaulatan Raja-Raja Melayu.

“Saya rasa perkara ini perlu diperingatkan dan diulang berkali-kali kerana masih ada rakyat yang sangsi dan menganggap DAP parti cauvinis tidak boleh disokong.

“Keadaan begitu baik sekarang mereka berada di pentas politik Malaysia bersama-sama Pakatan Rakyat untuk mengajak ke arah perubahan,” katanya memetik laporan Harakahdaily.

Dalam masa yang sama, Dr Hatta berharap supaya pemilihan khas ini berjalan dengan baik dan diterima oleh ROS.

Antara pemimpin Pakatan Rakyat (PR) yang hadir ialah Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution. – Roketkini.com