Berita

Jawatankuasa Interim DAP Kedah dibentuk ikut perlembagaan

ALOR STAR, 7 OKTOBER: Jawatankuasa Interim DAP Kedah dibentuk semula mengikut perlembagaan parti dengan gandingan pimpinan veteran dan muda.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Zairil Khir Johari, berkata pembentukan jawatankuasa Interim itu dibuat setelah diberi tanggungjawab oleh Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP berikutan keputusan pemilihan 30 September lalu melantik beliau sebagai Pengerusi Interim DAP Kedah.

“Saya yakin pasukan itu akan memperkukuhkan lagi jentera DAP Kedah, khususnya dalam proses pengembangan parti di negeri ini,” katanya dalam kenyataan media.

Zairil juga menegaskan bahawa Jawatankuasa Interim DAP Kedah ini dibentuk mengikut perlembagaan parti, bukan sebaliknya seperti dakwaan sesetengah pihak.

zairilkhir“Di sini saya ingin tegaskan bahawa fasal kecil (sub-clause) 11 dan 12 mengikut Fasal XIV Perlembagaan parti memperuntukkan kuasa penuh kepada CEC untuk membubarkan mana-mana Jawatankuasa Negeri dan melantik Jawatankuasa Interim bagi tempoh enam bulan.

“Justeru, peruntukan perlembagaan parti adalah jelas dan kedudukan saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Interim DAP Kedah adalah sah dan tidak boleh dipertikaikan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera berharap agar semua ahli DAP Kedah dapat bekerjasama untuk semua aktiviti parti dalam masa yang sama berpadu menggembleng tenaga untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil Sungai Limau pada 4 November ini.

Senarai Ahli Jawatankuasa Interim DAP Kedah yang baru ialah Pengerusi Interim DAP Kedah, Zairil Khir Johari; Timbalan Pengerusi, Steven Sim Chee Keong; Naib Pengerusi Syed Araniri, Lok Saw Mee, Karuna; Setiausaha, KB Teoh; Penolong Setiausaha, Soon Peng Lim; Bendahari, Por Lee Tee; Setiausaha Organisasi, Teh Seng Teik; Penolong Setiausaha Organisasi, Yong Peng Sin; Setiausaha Publisiti, Dr Lim Sin Keat; Penolong Setiausaha Publisiti, Vincent Chee; Pengarah Pendidikan Politik, Tan Kok Yew; Ahli Jawatankuasa, Vincent Wu, Thomas Su dan Ooi Sow Ching.-Roketkini.com